PEMENANG qariah Nor Azrah dan qari Wan Ainuddin masing-masing menerima hadiah  Proton Exora di Kuala Lumpur, semalam.
PEMENANG qariah Nor Azrah dan qari Wan Ainuddin masing-masing menerima hadiah Proton Exora di Kuala Lumpur, semalam.
Oleh Siti Fatimah Hassanm.my

Kuala Lumpur: Qari dan qariah Malaysia, Wan Ainuddin Abdullah, 34 dan Nor Azrah Ayub, 38, yang menang Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-58, bersyukur kerana mendapat pengiktirafan antarabangsa atas kemenangan itu.

Malah, kedua-duanya menyuarakan hasrat ‘bersara’ daripada menyertai pertandingan itu kerana mahu memberi laluan kepada mereka yang berkebolehan untuk terus mempertahankan gelaran johan itu buat Malaysia.

Wan Ainuddin yang juga Imam Masjid Tun Abdul Aziz, Petaling Jaya berkata, dia berasakan pengiktirafan yang diberikan itu cukup memberi makna dalam dirinya.

“Kini, sudah tiba masanya untuk saya memberi peluang kepada rakan yang lain pula. Saya berasakan pengiktirafan atas kemenangan ini cukup memberi kepuasan diri kerana ia di peringkat antarabangsa,” katanya selepas menerima hadiah tajaan Lembaga Tabung Haji iaitu Proton Exora 1.6 CVT Turbo Executive, di sini, semalam.

Hadiah sama turut diterima Nor Azrah dan ia disampaikan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (KTH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Sementara itu, Nor Azrah berkata, dia berpuas hati dengan pencapaiannya yang dianggap paling besar dalam hidupnya itu dan kini lebih banyak memberi fokus untuk menurunkan ilmu kepada rakan dan individu lain yang berminat dalam ilmu taranum selain berhasrat melahirkan qari dan qariah generasi muda.

“Saya berpuas hati dengan pencapaian setakat ini dan kini fokus lebih banyak diberikan dalam memberi bimbingan terhadap individu berminat.

“Saya mengadakan kelas untuk generasi muda dengan hasrat melahirkan pelapis khususnya untuk mewakili rakyat Johor. Bimbingan turut diberikan dalam kalangan rakan sepejabat dan ada memohon contoh rakaman untuk mendengar bacaan saya,” katanya.

Nor Azrah yang juga Pegawai Perancang Bandar dan Desa di Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) itu berkata, dia teruja menerima hadiah Proton Exora itu yang dianggap sebagai rezeki Ramadan buat keluarganya.

“Saya menerima hadiah ini pada 1 Ramadan dan ini rezeki bulan puasa serta enam anak saya. Kebetulan, esok (hari ini) anak kelima yang berusia lapan tahun menyambut hari kelahirannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2016 @ 11:32 AM