ANGGOTA bomba memadam kebakaran.
ANGGOTA bomba memadam kebakaran.

Pasir Mas: Perjalanan tujuh penumpang sebuah bas ekspres dari Rantau Panjang ke Larkin, Johor sejauh 10 kilometer, terbantut apabila bas dinaiki mereka terbakar.

Kejadian berlaku kira-kira 8.30 malam kelmarin di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang dekat Taman Tengku Anis, di sini.

Mereka sebelum itu dikejutkan dengan kepulan asap yang memenuhi ruang dalam bas, sebelum memberitahu pemandu supaya memeriksa kenderaan itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Nazri A Wahab berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.35 malam.

“Sepasukan anggota dengan satu jentera ke tempat kejadian dan ketika tiba, api mula membakar kerangka bas.

“Kami mengambil masa 10 minit untuk memadam kebakaran itu.

“Semua tujuh penumpang dan pemandu bas itu selamat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, difahamkan, bas ekspres berkenaan dalam perjalanan ke Larkin, Johor dan akan singgah ke Kota Bharu untuk mengambil penumpang.

Katanya, punca kejadian dan kerugian masih lagi dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2016 @ 10:20 AM