POKOK bunga Takoma yang berbunga lebat di Seri Bandi, Kemaman menjadi viral di Facebook.
POKOK bunga Takoma yang berbunga lebat di Seri Bandi, Kemaman menjadi viral di Facebook.

Chukai: Pokok bunga tekoma berusia 10 tahun yang ditanam Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) di bahu Jalan Seri Bandi, mengeluarkan bunga yang lebat, sekali gus mengubah wajah kawasan berkenaan seolah-olah berada pada musim bunga sakura di Jepun.

Ia mula diviralkan di laman sosial Facebook (FB) sejak seminggu lalu menyebabkan netizen menggelarkan kawasan Seri Bandi sebagai ‘Taman Bunga Syurgaku’.

Tinjauan mendapati pokok bunga tekoma itu yang ditanam berderet sepanjang satu kilometer dari simpang masuk di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Bandi 2 hingga ke Taman Perumahan Blokc C sekali gus mengindahkan kawasan persekitarannya.

Seorang penduduk berhampiran, Kelthon Saat, 55, berkata, dia pernah lihat orang luar yang datang ke kawasan itu merakam gambar pokok bunga tekoma serta bergambar di situ kerana pemandangan di kawasan berkenaan sangat menarik.

“Keadaan itu kelihatan sama seperti musim bunga di beberapa negara Barat dan Asia Timur seperti di Jepun dan Korea, sejuk mata memandang, sekali gus ia mengubah wajah perkampungan penempatan penduduk KETENGAH di Seri Bandi.

“Memandangkan kedudukan Seri Bandi itu sendiri hanya dua kilometer dari susur keluar Plaza Tol Kijal di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), ada yang singgah dan merakam gambar di kawasan itu,” katanya.

Menurutnya, walaupun KETENGAH turut menanam pokok bunga tekoma di kawasan penempatan perkampungan penduduk seperti di Bukit besi, Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Ketengah Jaya dan Cheneh tetapi ia tidak banyak seperti di Seri Bandi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2016 @ 8:39 AM