KELIHATAN gelandangan beratur mengambil makanan anjuran KL International Hotel di Jalan Tunku Abdul Rahman.
KELIHATAN gelandangan beratur mengambil makanan anjuran KL International Hotel di Jalan Tunku Abdul Rahman.
Noor Ainum Ibnu Hajar


Kuala Lumpur: Jika sebelum ini, isu gelandangan kerap dikaitkan dengan warga emas, namun kini terdapat juga golongan gadis dikesan terbabit dengan masalah itu.

Ini dibuktikan apabila Metro Ahad bertemu dengan seorang gadis berusia 20 tahun yang merayau dan tidur di kaki lima kedai sekitar Chow Kit, di sini.

Gadis berusia 20 tahun itu adalah antara puluhan gelandangan yang berbaris mengambil sumbangan makanan diberi Kuala Lumpur International Hotel di sini, baru-baru ini.

Mengimbas kembali detik awalnya bergelar gelandangan, gadis berasal dari Kuala Krai, Kelantan itu berkata, dia mengikuti kakaknya ke ibu kota demi mencari pekerjaan.

“Namun saya tidak sempat mencari pekerjaan berikutan terpaksa lari keluar dari rumah kakak.

“Ini disebabkan saya tidak suka dengan kelakuannya yang tinggal bersekedudukan dengan lelaki bukan mahram,” katanya.

Katanya, dia pernah mencari pekerjaan selepas tidak tinggal bersama kakaknya, namun usaha itu gagal berikutan dia tidak memiliki kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ditanya berhubung ahli keluarga lain, dia memberitahu masih mempunyai ibu bapa di negeri asalnya, tetapi memilih untuk tidak tinggal bersama.

“Sejak kecil saya selalu disisihkan ibu bapa. Walaupun bergelar anak bongsu mereka tetap juga melebihkan adik-beradik yang lain.

“Malah sejak kecil, saya diberi pada ibu angkat untuk dijaga sehinggalah dia meninggal dunia,” katanya.

Bagaimanapun, katanya dia tetap dengan pendirian untuk tidak kembali ke pangkuan keluarga meskipun terpaksa hidup sebagai gelandangan.

“Buat apa kembali kepada keluarga jika kehadiran saya seolah-olah tidak diingini? Saya lebih selesa membawa diri dan hidup tidak menyusahkan orang lain,” katanya.

Pada masa sama, gadis berkenaan bercita-cita mahu bergelar penghibur jalanan.

“Apa yang saya mahukan adalah sebuah gitar. Dengan menggunakan gitar itu saya akan menghiburkan orang ramai dengan nyanyian.

“Malah, disebabkan impian itu, saya selalu menyaksikan persembahan yang dilakukan Caliph Busker di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman,” katanya.

Katanya, dia kagum dengan kumpulan itu berikutan mereka masih mampu menghiburkan orang ramai walaupun dalam keadaan tidak sempurna.

Sementara itu, Eksekutif Jualan dan Pemasaran Kuala Lumpur International Hotel, Siti Aishah Yahaya berkata, program bersama gelandangan yang dilakukan itu adalah salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) hotel itu terhadap komuniti.

“Melalui program ini, kami dapat menyelami kehidupan gelandangan di ibu kota di samping berkongsi sebahagian rezeki dengan mengagihkan makanan kepada mereka.

“Selain itu, kami juga berharap berharap masyarakat luar akan lebih prihatin dengan golongan tidak berkemampuan dan belajar mensyukuri kehidupan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2016 @ 5:10 AM