DR Riza Atiq (empat dari kiri) beramah mesra dengan pelajar.
DR Riza Atiq (empat dari kiri) beramah mesra dengan pelajar.

Bangi: Empat universiti di Iran bakal mengadakan kerjasama dengan beberapa universiti awam dan universiti swasta di Malaysia dalam bidang akademik dan penyelidikan.

Universiti terbabit ialah Universiti Tehran, Universiti Sains Perubatan Tehran, Universiti Teknologi Sharif dan Universiti Amirkabir.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Ir Dr Riza Atiq Abdullah Rahmat berkata, universiti berkenaan berminat mengadakan kerjasama apabila melihat potensi universiti di Malaysia dalam bidang itu.

“Sebelum ini, UKM sudah menjalinkan pelbagai kerjasama akademik dengan Iran sejak tahun 2007, tetapi kali ini kerjasama yang lebih besar kerana membabitkan beberapa universiti awam dan swasta terkemuka di negara kita.

“Antara universiti tempatan lain yang menjadi tumpuan mereka ialah Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan beberapa universiti swasta.

“Kerjasama itu juga membabitkan pelbagai bidang seperti sains, kejuruteraan, pengurusan bagi meningkatkan kualiti pendidikan tinggi di kedua-dua negara,” katanya dalam program ‘Propelling Research Synergy in Higher Education: Malaysia and Iran Academic Meets’ di Pusat Siswazah UKM, di sini, semalam.

Riza Atiq berkata, mereka juga ingin meningkatkan penerbitan jurnal apabila mengadakan kerjasama nanti supaya dapat dijadikan rujukan kepada penyelidik yang lain.

“Buat masa ini, jurnal yang dihasilkan penyelidik dari Malaysia memuaskan, tetapi agak kurang dari segi penerbitannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2016 @ 8:57 AM