NURUL Afidah menunjukkan koleksi pakaian di butiknya yang elegan, moden dan ringkas.
NURUL Afidah menunjukkan koleksi pakaian di butiknya yang elegan, moden dan ringkas.
NUR Liyana melihat koleksi jubah di butiknya.
NUR Liyana melihat koleksi jubah di butiknya.

Jika dibandingkan dahulu dan kini, industri fesyen muslimah di negara ini ternyata semakin pesat membangun, malah untuk mendapatkan produk seperti tudung, selendang, jubah dan gaun labuh juga lebih mudah.

Pengusaha pakaian muslimah semakin giat menghasilkan produk bermutu tinggi kerana menyedari persaingan kian sengit dalam industri ini apatah lagi dengan kemudahan Internet yang membolehkan urusan jual beli hanya di hujung jari.

Bagi pemilik jenama dan butik pakaian muslimah, Leeyanarahman, Nur Liyana Abdul Rahman dan suami, Muhammad Hafiz Abd Hamid, menyifatkan persaingan yang kian sengit ini tidak bermakna pengusaha tidak boleh bersaing secara sihat.

Ini kerana katanya, setiap pengusaha akan memastikan produk mereka mempunyai kelainan dan mampu menarik pembeli.

Menurut Nur Liyana, koleksi pakaian muslimah, muslim, kanak-kanak dan selendang yang direka sendiri lebih istimewa kerana corak atau motif setiap fabrik itu ditempah mengikut lakarannya agar pakaian lebih eksklusif.

“Idea untuk menghasilkan kelainan timbul apabila terdapat banyak koleksi pakaian Muslimah di pasaran yang menggunakan bahan dan rekaan yang hampir sama,” katanya yang ditemui, baru-baru ini.

Menurut Muhammad Hafiz, jenama Leeyanrahman sudah berada di pasaran sejak 4 tahun lalu dan kini jenama tersebut mendapat sambutan dan penerimaan yang memberangsangkan dari peminat koleksi fesyen muslimah.

“Seiring dengan arus kemodenan, pelanggan kini lebih meminati rekaan pakaian muslimah yang berkonsep moden. Perkara ini telah membuka peluang perniagaan kepada usahawan tempatan untuk menghasilkan koleksi yang menepati citarasa pelanggan.

“Bagi mereka yang mahu atau baru menceburkan diri dalam perniagaan berasaskan fesyen muslimah ini, teruskanlah dan jangan sesekali cepat putus asa,” kata Muhammad Hafiz.

Tambah Nur Liyana, selepas menamatkan pengajian dalam bidang kewangan, beliau dan suami tidak merancang untuk makan gaji malah mengimpikan untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Hasil sokongan keluarga dan tekad merealisasikan hasrat berniaga kedua pasangan suami isteri ini berjaya memperkenalkan jenama Leeyanarahman dalam industri fesyen muslimah negara sehingga kini.

“Ramai berpendapat sekiranya ingin mula berniaga, perlu ada modal yang besar, walhal berbekalkan modal kecil juga anda boleh menjalankan perniagaan.

“Dengan modal sebanyak RM1,500, saya menghasilkan 14 pasang baju untuk dijual melalui laman sosial. Alhamdulillah, kini saya boleh menarik nafas lega kerana jenama Leeyanarahman sentiasa mendapat permintaan dan mampu untuk memiliki butik serta bangunan sendiri,” katanya.

Butik Leeyanrahman

Alamat: 3A-45-02, Jalan Medan Pusat Bandar 8, Bangi Sentral

Telefon: 011-11716479

Facebook: www.facebook.com/Leeyana-RahmanCollection

Instagram: leeyanarahman.co

Industri fesyen peluang untuk usahawan tempatan

Mengambil kira populasi Malaysia yang didominasi masyarakat Melayu beragama Islam, tidak mustahil ia menyumbang kepada perkembangan fesyen Muslimah moden yang memberi peluang perniagaan kepada usahawan tempatan.

Pengarah Urusan MimpiKita, Nurul Afidah Zulkifli berkata, kemunculan dan perkembangan fesyen yang cukup pesat dalam mengutarakan jenama busana Muslimah boleh dibanggakan.

“Perkara ini menyebabkan industri fesyen Muslimah semakin meningkat dan turut memberi peluang kepada ramai usahawan tempatan untuk mengusahakan perniagaan tersebut.

“Daripada pemerhatian saya ‘trend’ terkini yang menjadi pilihan kebanyakan pereka pakaian kontemporari Muslimah sewaktu menghasilkan busana ialah longgar, labuh, lebih kasual, santai, ‘lay back’, ‘chic’, ‘edgy’ dan ringkas kerana sesuai digayakan semua golongan,” katanya.

Menurut Nurul, dalam memperkatakan fesyen yang sesuai untuk wanita Muslimah, kita usah terlalu jumud kerana Islam tidak mencetuskan fesyen atau bentuk pakaian yang boleh dipakai. Namun, yang ditetapkan ialah menutup keseluruhan aurat kecuali muka dan telapak tangan.

“Kebanyakan busana Muslimah sekarang menjadi fesyen alternatif terbaik wanita Islam yang ingin menutup aurat dengan gaya yang penuh berketrampilan.

“Fesyen busana Muslimah dipakai bagi pelbagai tujuan, masa dan tempat. Justeru, dengan adanya pelbagai pilihan, pakaian wanita muslimah tidak lagi dipandang sebagai konservatif dan ketinggalan zaman,” katanya.

Tambah Nurul Afidah, rekaan busana Muslimah perlu bersifat sejagat agar boleh digayakan oleh pelanggan dari pelbagai bangsa namun masih perlu mengekalkan ciri menutup aurat, praktikal dan komersial.

“Sebagai usahawan kita perlu mempunyai etika dan identiti jenama tersendiri.

“Selain itu, usahawan harus fokus, kuat, ikhlas dan minat terhadap perniagaan yang diusahakan,” kata Nurul yang bakal tampil dengan koleksi Lebaran MimpiKita 2016.

Butik MimpiKita

Alamat: 15-1, Jalan telawi 2, Bangsar Baru, Kuala Lumpur

Telefon: 012-9318059

Laman web: mimpikita.com.my

Facebook: www.facebook.com/mimpikitaofficial

Instagram: mimpi_kita

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2016 @ 8:24 AM