NAJIB bersalaman dengan penerima kerusi roda, Sutomo Moran sambil disaksikan Dr Ahmad Zahid, semalam.
NAJIB bersalaman dengan penerima kerusi roda, Sutomo Moran sambil disaksikan Dr Ahmad Zahid, semalam.
myMetro

Kuching: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan keamanan dan kestabilan politik adalah kembar siam yang tidak dapat dipisahkan.

Menurutnya, tiada guna keamanan tanpa kestabilan politik dan tidak ada makna kestabilan politik sekiranya negara huru-hara.

“Apabila tiada kestabilan politik, pembangunan sukar dijalankan dan negara luar tidak yakin dengan negara kita, sekali gus menyebabkan ekonomi negara menguncup,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Najib turut memuji Sarawak yang aman dengan kepelbagaian kaum hidup harmoni di bawah satu bumbung.

“Saya sudah pergi banyak tempat di Sarawak dan tengok sendiri kehidupan masyarakat negeri ini yang hidup berbilang kaum dalam suasana aman dan harmoni.

“Orang Sarawak ni ikhlas, sayang kepada keamanan dan kestabilan politik,” katanya.

Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk pembelian pakaian seragam anggota RELA.

Lebih 12,000 anggota RELA hadir pada majlis berkenaan.

“Saya luluskan peruntukan RM10 juta pada tahun ini dan RM10 juta tahun depan untuk pembelian pakaian seragam RELA,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan Sarawak juga menyediakan sebidang tanah seluas 15 hektar di Sematan, Lundu untuk pembinaan Pusat Latihan RELA.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2016 @ 10:15 AM