myMetro

Kuala Lumpur: Kira-kira 1.3 juta kenderaan membanjiri tiga pintu masuk utama ke ibu negara sejak pagi semalam selepas orang ramai menghabiskan cuti hujung minggu dan sambutan Hari Buruh, Ahad lalu.

Menurut jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), peningkatan jumlah kenderaan itu menyebabkan aliran trafik perlahan, terutamanya dari arah utara dan pantai timur berbanding hari biasa, namun tiada kesesakan teruk dilaporkan.

Katanya, aliran trafik dari arah selatan dilaporkan perlahan selepas berlaku kemalangan di Kilometer 258 dan kilometer 747.7 berhampiran Senawang dan Port Dickson.

“Berdasarkan pemerhatian Pusat Pengurusan Trafik LLM, laluan lebuh raya dari utara ke Lembah Klang perlahan sejak jam 10.50 pagi tadi (semalam) dari pantai timur sekitar jam 12.50 tengah hari manakala aliran trafik dari selatan pula perlahan bermula jam 11.25 pagi,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, pertambahan jumlah kenderaan berlarutan sehingga petang terutama membabitkan pengguna Lebuhraya Karak yang menuju Plaza Tol Bentong dan Gombak.

“Aliran trafik turut perlahan di beberapa lokasi dari utara iaitu membabitkan laluan Seberang Jaya-Perai, Taiping-Changkat Jering, Sungai Perak-Jelapang, Gopeng-Tapah dan Tanjung Malim-Lembah Beringin.

“Aliran trafik dari selatan perlahan di lokasi berikut iaitu Yong Peng-Pagoh, Simpang Ampat-Pedas Linggi dan Pedas Linggi-Port Dickson,” katanya.

Menurutnya, kebiasaannya kira-kira 1.2 juta kenderaan menggunakan lebuh raya pada setiap hujung minggu manakala 1.1 juta pada hari biasa.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2016 @ 8:59 AM
KENDERAAN sesak di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Senawang.
KENDERAAN sesak di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Senawang.
TRAFIK sesak di Jalan Merdeka, Bandar Hilir, Melaka.
TRAFIK sesak di Jalan Merdeka, Bandar Hilir, Melaka.
TRAFIK  bergerak perlahan di Lebuhraya Utara-Selatan di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
TRAFIK bergerak perlahan di Lebuhraya Utara-Selatan di Seberang Jaya, Pulau Pinang.