Anggota bomba membersihkan asid  yang tumpah menggunakan pancutan air dan serbuk soda.
Anggota bomba membersihkan asid yang tumpah menggunakan pancutan air dan serbuk soda.

Lori yang membawa muatan asid poly-aluminium chloride (PAC) 115 terbabas sebelum terbalik menyebabkan tong kimia terbabit bocor, seterusnya tumpah di Jalan Tanjung Malim menghala ke Jalan Sungkai dekat sini, pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Bidor Ahmad Hisham Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.21 pagi.

“Kami dapati berlaku tumpahan kimia di jalan raya akibat kebocoran sebahagian kecil daripada 100 tong asid terbabit.

“Asid ini digunakan untuk merawat air dan tidak berbahaya kerana kosentrasi asidnya rendah. Kami menggunakan pancutan air dan serbuk soda untuk membersihkan kawasan tercemar,” katanya.

Ahmad Hisham berkata, lapan anggota dengan bantuan beberapa pekerja syarikat lori itu terbabit dalam operasi pembersihan.

“Pemandu lori cedera ringan dan semua tong asid dialihkan ke tepi jalan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2016 @ 8:10 AM