POSTER pinjaman wang haram yang ditampal di tiang.
POSTER pinjaman wang haram yang ditampal di tiang.
Mohd Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Dua samseng ceti haram (along) yang dalam perjalanan memasang poster pinjaman haram tergamam apabila ditahan sepasukan polis dalam sekatan jalan raya.

Kegiatan kedua-dua suspek berusia 20-an itu terbongkar sejurus polis menemui beratus-ratus poster promosi pinjaman wang tidak berlesen disembunyikan di dalam kereta itu sebaik ditahan.

Mereka ditahan sekitar jam 11 malam kelmarin dalam operasi bersepadu yang dijalankan Balai Polis Setapak di Jalan Genting Klang.

Operasi bermula jam 8 malam dan berakhir jam 1 pagi itu diketuai Ketua Balai Setapak Asisten Superintendan Wee Bee Seng.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Muhamad Roy Suhaimi Sarif berkata, dua lelaki itu menaiki kereta model Proton Iswara ketika melalui sekatan jalan raya dilakukan.

“Hasil pemeriksaan polis menemui 175 poster ceti haram dalam kenderaan dinaiki mereka. Mereka disyaki menjalankan aktiviti menampal poster along di sekitar daerah ini.

“Susulan itu suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 29 AA (1) Akta Pemberi Pinjam Wang (Pindaan) 2010,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Menurutnya, operasi itu turut disertai 15 anggota Sukarelawan Polis (PVR), 10 anggota Polis Komuniti, tujuh anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan dua anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Seorang wanita berusia 30-an yang memiliki dadah turut ditahan. Kami menemui dua plastik lutsinar dalam beg tangan wanita itu mengandungi syabu dan ganja dianggarkan seberat 8 gram. Wanita ini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Selain itu seramai 11 lelaki berusia lingkungan 20 dan 30-an turut ditahan AADK selepas didapati positif dadah,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 73 kenderaan membabitkan 10 kereta dan 63 motosikal.

“JPJ juga mengeluarkan 40 saman membabitkan pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, ubah suai kenderaan dan tidak menampal logo P pada kenderaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2016 @ 7:25 AM