SALMAH (tengah) dan  Muhd Nurizman (tiga dari kanan) pada  majlis prapelancaran Kuala Lumpur Modest Fashion Week 2016,  semalam.
SALMAH (tengah) dan Muhd Nurizman (tiga dari kanan) pada majlis prapelancaran Kuala Lumpur Modest Fashion Week 2016, semalam.

Petaling Jaya: Terma ‘fesyen sederhana’ (modest fashion) lebih diterima di peringkat antarabangsa berbanding fesyen Islam kerana ia tidak terikat dengan agama selain tetap menampilkan rekaan menutup aurat dan sopan.

Pengasas Moslema In Style Muhd Nurizman Abdul Rahman berkata, terma sesuai perlu digunakan bagi menarik peminat fesyen antarabangsa kerana ia mudah diterima dan menyerlahkan ciri-ciri elegan.

“Terma ‘modest fashion’ diterima di peringkat antarabangsa dan sebagai alternatif, kami bercadang menjadikan Kuala Lumpur sebagai kota fesyen bercirikan Islam yang unggul di dunia setanding kota fesyen lain seperti London dan New York.

“Dengan ada pertunjukan fesyen unik ini, kita dapat menyebarkan kebudayaan tempatan ke peringkat dunia. Daripada pengalaman sebelum ini, peminat fesyen antarabangsa lebih tertarik dengan rekaan dipamerkan dan bakal berkunjung ke negara asal fesyen itu seperti Malaysia,” katanya pada sidang media Moslema In Style International Tour dan prapelancaran Kuala Lumpur Modest Fashion Week 2016, di sini, semalam.

Moslema In Style menyertai siri pertunjukan fesyen antarabangsa di beberapa kota terkemuka dunia seperti London, Moscow, Paris, Manchester dan berakhir di Kuala Lumpur pada 26 dan 27 November depan.

Selaku rakan rasmi, Moslema In Style membawa dan mempromosikan enam jenama fesyen di London Muslim Lifestyle Show 2016 iaitu Telekung Siti Khadijah, Aidijuma, Naelofar Hijab, Imaan Boutique, Rina Salleh Clothing dan MARA In Fashion (Usahawan Fesyen Majlis Amanah Rakyat-MARA).

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Pembangunan Keusahawanan) MARA Datuk Salmah Hayati Ghazali berkata, pihaknya akan membawa tiga usahawan fesyen terbaik ke London bagi memperkenalkan rekaan terkini mereka.

“Kita latih usahawan terbaik dari segi bisnes fesyen dan membawa mereka untuk bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 7:16 AM