MURID menunggu setengah jam di luar pagar sekolah berikutan pengawal keselamatan mogok.
MURID menunggu setengah jam di luar pagar sekolah berikutan pengawal keselamatan mogok.
Norul Awatif Romli


Alor Setar: Hampir 100 orang membabitkan murid, guru dan kakitangan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Keat Hwa (S) Kampung Baru, di sini, semalam terganggu sesi persekolahan selama lebih 30 minit apabila tidak dibenarkan masuk ke sekolah oleh pengawal keselamatan yang mengunci pagar utama.

Difahamkan, kejadian berlaku jam 6.30 pagi itu berpunca akibat tindakan mogok empat pengawal keselamatan bertugas selepas masing-masing dikatakan tidak dibayar gaji oleh majikan sejak Januari lalu.

Turut kelihatan ialah sekeping sepanduk yang digantung pada dinding pagar sekolah bertulis ‘Sila jelaskan gaji, tunggakan dan caruman KWSP...Kami nak makan, kami ada keluarga, kami nak bayar sewa’.

Pengerusi Pengelola SRJK Keat Hwa (S) Lim Gek Leng berkata, rata-rata pelajar dan guru terkandas hampir setengah jam di hadapan pintu pagar yang berkunci menyebabkan kesesakan lalu lintas di laluan utama hadapan sekolah.

Katanya, beliau difahamkan masalah dihadapi pengawal keselamatan itu berlarutan selama empat bulan, namun tidak menyangka mereka sanggup mengambil tindakan sedemikian iaitu mengunci pagar utama.

“Saya dimaklumkan pagar sekolah dibuka semula selepas seorang guru lelaki bertindak memanjat pagar dan mengambil kunci pagar di bilik pengawal keselamatan.

“Malah, saya juga ada membuat perjumpaan dengan wakil PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) Kota Setar sebelum ini untuk menukar pengawal keselamatan lain kerana sudah ada kes berbaur mogok dilaporkan sebelum ini, ” katanya ketika ditemui, di sini.

Lim berkata, seramai empat pengawal daripada sebuah syarikat keselamatan ditugaskan di sekolah itu dan mereka mendakwa mengalami tunggakan gaji lebih RM5,000 setiap seorang.

Katanya, beliau juga dimaklumkan pengawal keselamatan itu menerima bayaran sebanyak RM800 berbanding bayaran gaji asal mereka iaitu RM1,600 sebulan.

“Saya menerima maklumat ada antara mereka terpaksa makan biskut, roti dan air saja kerana tiada duit akibat kegagalan pihak syarikat membayar gaji penuh, ” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan, Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, syarikat kawalan keselamatan berkenaan dipercayai mempunyai masalah kewangan sehingga menjurus kepada kelewatan membayar gaji pekerjanya.

Katanya, berdasarkan rekod, syarikat terbabit dikatakan gagal menghantar tuntutan pada Februari dan Mac lalu kepada PPD menyebabkan tiada pembayaran boleh dibuat.

“Pihak syarikat hanya menghantar tuntutan bayaran pada Januari dan proses pembayaran juga sudah dilakukan. Sepatutnya pihak syarikat sudah membuat bayaran gaji bagi Januari kepada pekerja, ” katanya ketika dihubungi, di sini.

Pada masa sama, beliau mencadangkan Kementerian Pendidikan supaya melantik syarikat lain yang mempunyai sumber kewangan kukuh bagi mengelakkan perkara sama berulang.

Wakil syarikat berkenaan ketika dihubungi mengesahkan ada membuat pembayaran berjumlah RM1,000 kepada empat pengawal keselamatan itu, namun enggan mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2016 @ 7:46 AM