JAAFAR menunjukkan lukisan bertajuk Jaguar.
JAAFAR menunjukkan lukisan bertajuk Jaguar.
myMetro

Kuala Lumpur: Kesungguhan pelukis terkenal tanah air, Jaafar Taib menghasilkan seni lukisan bertemakan hidupan liar terutama spesies di hutan Malaysia berjaya menambat hati syarikat Walt Disney untuk berkolaborasi dalam pameran seni #JungleLife sempena tayangan filem Disney The Jungle Book bermula semalam.

Pengunjung berpeluang melihat tiga lukisan Jaafar iaitu Orang Utan, Harimau Malaya dan Harimau Bintang (Jaguar) jika berkunjung ke ruang pameran di pusat beli-belah One Utama sehingga 16 April ini.

Jaafar, 64, yang ditemui Harian Metro berkata, tawaran diterima dianggap pengiktirafan kepada dirinya apatah lagi Disney terkenal dengan karya seni bertemakan haiwan dan hidupan liar di seluruh dunia.

“Melalui wakil mereka di Malaysia, saya diminta menghantar lukisan sebelum mereka memilih tiga lukisan dan spesies berkenaan hanya ada di hutan negara kita selain bersesuaian dengan watak dalam filem berkenaan,” katanya.

Menurutnya, lukisan juga boleh mendidik manusia untuk memelihara dan memulihara haiwan terutamanya spesies hidupan liar yang hampir pupus dan menjadi identiti negara kita kerana spesies berkenaan hanya wujud di sini seperti Harimau Malaya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2016 @ 9:06 AM