McDonald's Malaysia adalah restoran perkhidmatan segera yang pertama dianugerahkan pensijilan halal dari Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia atau JAKIM.

Dengan mengikuti Standard Malaysia Berkenaan Makanan Halal (MS1500-2009) yang menetapkan peraturan bagi pengeluaran, penyediaan, pengendalian dan penyimpanan bahan makanan, McDonald's Malaysia menunjukkan komitmen dan kesediaan melabur dalam amalan halal.

Pendekatan McDonald's Malaysia yang berfokus dalam memenuhi keperluan halal juga dibimbing oleh Jawatankuasa Halal Dalaman yang memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap standard halal yang digariskan oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia atau JAKIM.

Dibantu oleh dua penasihat Syariah luaran, jawatankuasa ini mengambil pendekatan secara “hands-on” untuk memastikan semua prosedur adalah selaras dengan keperluan halal yang ditetapkan.

Wan Mohd Zam Wan Embong, Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman dan Ahli Lembaga Pengarah, McDonald's Malaysia, mengesahkan obligasi syarikat untuk memenuhi piawaian tertinggi amalan halal.

Katanya, jawatankuasa tersebut sentiasa memantau pembekal produk makanan, kaedah pengeluaran dan piawaian kebersihan dalam penyediaan makanan.

“Jawatankuasa ini bertanggungjawab memastikan syarikat mematuhi standard ketat halal yang ditetapkan oleh JAKIM pada setiap masa. Ini termasuk merekrut orang Islam untuk bekerja di dapur.

“Kami memastikan setiap cawangan McDonald's memperoleh pensijilan halal, pada setiap masa terdapat sekurang-kurangnya dua pekerja Muslim bekerja di dapur dan semua bahan-bahan yang digunakan dalam penyediaan makanan adalah halal dan diluluskan oleh JAKIM. Halal adalah keutamaan kami.”

Komitmen syarikat terhadap integriti halal juga merangkumi rantaian bekalan, kata Rosedalina Ibrahim, Pengurus Kanan, Jabatan Hal-Ehwal Halal McDonald’s Malaysia. Ini, katanya, memastikan kesahihan daging halal dan produk daging dari ladang ke meja pengguna.

Sama ada bahan makanan dihasilkan di dalam atau luar negara, Rosedalina menerangkan bahawa terdapat mekanisma untuk memastikan keselamatan makanan dan pematuhan. Pemantauan dilakukan di semua peringkat rantaian bekalan untuk memastikan sumber bahan asas, pengeluaran, pemprosesan, penyimpanan dan pengedaran makanan adalah mengikut piawaian halal.

"Rantaian bekalan kami dipantau secara terperinci melalui audit dan pemeriksaan McDonald's dan pembekal mestilah disahkan Halal oleh JAKIM. Kami hanya berurusan dengan pembekal-pembekal yang tersenarai dalam pangkalan data pembekal halal yang diluluskan.

Ini termasuk juga pembekal luar negara yang mesti melalui audit halal oleh Badan-Badan berkuasa halal yang di iktiraf oleh Jakim di negara masing-masing. Senarai Badan Badan Halal yang diiktiraf ini boleh didapati dari pengkalan data Jakim.”

Pada setiap titik rantaian bekalan, tambah Rosedalina, terdapat pengesanan makanan yang membolehkan syarikat McDonald's mengenalpasti sumber bahan makanan. Katanya, mengenali kandungan makanan dan mengetahui asal bahan makanan, memberi jaminan sepenuh bahawa produk McDonald's Malaysia adalah 100 peratus halal.

Kenali lebih lagi Halal di McDonald’s Malaysia di http://mcdonalds.com.my/food/halal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2016 @ 9:40 AM