TUJUH lelaki yang sesat dalam hutan bersempadan dengan Kem PULADA Kota Tinggi dan Ladang Foh Chong ditemui selamat.
TUJUH lelaki yang sesat dalam hutan bersempadan dengan Kem PULADA Kota Tinggi dan Ladang Foh Chong ditemui selamat.
Ahmad Othman


Kota Tinggi: Semua tujuh lelaki yang sesat hampir 24 jam di kawasan hutan antara pagar PULADA (Pusat Latihan Tempur Tentera Darat) Kota Tinggi dan Ladang Kelapa Sawit Foh Chong, ditemui selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR), jam 11.45 pagi semalam.

Sebelum itu, seorang lelaki, Md Nasir Md Nor, 54, memasuki kawasan hutan berkenaan jam 7.30 pagi kelmarin untuk memikat murai batu sebelum tersesat.

Menurut Md Nasir, dia sudah biasa dengan sekitar kawasan ini, malah sudah berpuluhan kali memikat burung sendirian sejak tiga tahun lalu. Sepanjang tempoh berkenaan, tiada kejadian tidak diingini berlaku.

“Kira-kira jam 7.30 pagi semalam (kelmarin), saya sampai di kawasan ini dan meninggalkan motosikal dekat dengan pagar PULADA untuk memikat murai batu.

Selepas memasang racik (perangkap), saya berehat di bawah pokok, tidak lama kemudian saya dapati racik dan pemikat yang dipasang hilang.
  “Oleh kerana mula mengesyaki ada ‘sesuatu’ yang mengganggu, saya membuat keputusan untuk keluar dari hutan dan pulang ke rumah di Kempas (Johor Bahru),” katanya selepas ditemui selamat, semalam.

Katanya, ketika mahu keluar, dia tersesat. Namun, dia menghubungi anaknya untuk meminta bantuan.

Beliau berkata, apabila dia gagal mencari jalan keluar, anak saya menghubungi sepupu dan rakannya di Johor Bahru untuk mendapatkan bantuan dan pada masa sama memaklumkannya kepada polis,” katanya.

Selain Md Nasir, enam yang lain termasuk anak lelakinya berumur 31 tahun turut sesat di hutan itu selepas masuk mencarinya, jam 10 malam kelmarin.

Mereka ditemui anggota SAR terdiri daripada polis dan bomba.

Rakan Md Nasir, Mohd Mulyamin Musa, 38, berkata, dia bersama lima yang lain bergerak masuk ke hutan itu jam 10 malam sambil mematahkan pucuk dan ranting pokok sebagai penanda jalan keluar.

“Sejam kemudian, kami menjumpai Md Nasir yang keletihan dan memberinya minuman serta menenangkannya kerana dia mempunyai sejarah serangan jantung.

“Selepas Md Nasir mendapat semula tenaganya, kami membuat keputusan untuk keluar dari hutan tetapi yang menghairankan, kami turut hilang arah dan seolah-olah tidak dapat mencari jalan keluar walaupun menggunakan laluan masuk sebelum ini.

“Kami berusaha sehingga waktu Subuh apabila mendengar suara azan dari surau kampung berdekatan tetapi masih gagal mencari jalan keluar sehingga terpaksa menunggu pasukan penyelamat datang,” katanya.

“Pasukan SAR menghubungi kami melalui telefon bimbit dan meminta kami menunggu di satu lokasi berdekatan pagar lapang sasar PULADA.

“Kira-kira jam 11.45 pagi, anggota SAR terbabit tiba. Mereka menawarkan untuk membawa kami ke hospital bagi pemeriksaan kesihatan tetapi menolaknya kerana kami dalam keadaan baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2016 @ 9:21 AM