KERATAN akhbar Harian Metro 17 September 1998.
KERATAN akhbar Harian Metro 17 September 1998.
SAPOK Biki dikalungkan pingat emas oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
SAPOK Biki dikalungkan pingat emas oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Setiap kali bercakap mengenai Sukan Komanwel 1998, pasti kita terkenang kejayaan penganjuran juga pencapaian cemerlang Malaysia dengan meraih 10 pingat emas, 14 perak dan 12 gangsa.

Di sebalik kejayaan itu, terselit dua kisah kehebatan bekas atlet negara, Hidayat Hamidon (angkat berat) dan Sapok Biki (tinju) merangkul emas dan mengejutkan beberapa wakil dari negara Komanwel lain.

Hidayat bukan saja menghadiahkan emas buat kontinjen negara, malah memecahkan rekod kebangsaan dan kejohanan ketika itu bagi melengkapkan kejayaan Malaysia.

Beliau kini jurulatih ‘powerlifting’ negara, antara atlet skuad Projek Jaya ‘98 dan diberi persediaan secukupnya untuk menyinar di temasya berkenaan.

“Saya sertai Projek Jaya ‘98 sejak 1995 dan sebelum Sukan Komanwel bermula saya melakukan persiapan khas di beberapa negara termasuk Australia (tiga bulan) dan Russia (dua bulan).

“Pada 1997, saya sertai Pra-Komanwel di Kepulauan Nauru dengan memecahkan rekod Komanwel dalam disiplin ‘snatch’ dan ‘clean & jerk’. Saya belum yakin meraih emas di Komanwel ‘98 walaupun cemerlang di Nauru kerana atlet dari United Kingdom (UK) dan Kanada belum turun beraksi serta melihat persembahan saya.

“Bagaimanapun, beberapa peserta Australia juga rakan yakin saya mampu menjadi juara di Kuala Lumpur. Sebelum temasya berlangsung, jurulatih dari Russia, Armanna Nabadean meninggal dunia dan bapa saya, Hamidon Arbi datang dari Medan, Indonesia menjadi pengganti,” katanya.

Sebelum temasya bermula, Hidayat mengakui Majlis Sukan Negara (MSN) melakukan pelbagai persiapan khas buat atlet yang bertanding dengan mengadakan kem bina semangat.

“Banyak kem yang dijalankan ketika itu untuk membolehkan atlet tidak gementar beraksi di Komanwel ‘98, malah di Kompleks Sukan Bukit Jalil ketika itu, suasananya sangat meriah.

“Saya rasa seperti berada di luar negara dan bangga menjadi rakyat Malaysia kerana kami boleh mempersiapkan diri sebaiknya untuk menjadi tuan rumah termasuk menghiaskan Kompleks Sukan Negara dengan begitu indah.

“Ketika itu, dalam salah satu angkatan, saya ada menjerit ‘ayah’ kerana semuanya untuk dia. Dia buat semua kerana saya. Dia beri nasihat dan saya seperti bergabung tenaga dengannya. Ayah yang meninggal dunia pada 2008 pernah bercerita mengenai mimpinya. Dia berkata, saya memanjat pokok bersama rakan-rakan dan semua terjatuh kecuali saya yang sedang tergantung di satu dahan, rupanya ia petanda saya akan meraih satu emas,” katanya.

Bagi Kapten Sapok Biki yang kini bertugas di Rejimen Pertama Artileri Para Kem Terendak, Melaka dan juga jurulatih tinju Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kisahnya hampir sama iaitu berusaha keras sebelum temasya bermula, berjuang bermati-matian demi lencana di dada (bendera Malaysia) dan akhir sekali disanjung serta sentiasa mendapat perhatian orang ramai selaku wira 98.

“Sebelum Komanwel ‘98 bermula, kami perlu melalui pelbagai pemilihan termasuk menyertai kejohanan di dalam dan luar negara. Kami sentiasa mahu menjadi atlet terbaik dan untuk berada sebagai pilihan pertama perlu kekal konsisten, sihat tubuh badan serta sentiasa berdisiplin.

“Bukan saja jurulatih yang menilai perkembangan kami ketika itu malah wakil Persatuan Tinju Malaysia turut berbuat sedemikian. Jika ada perkara tidak betul, mereka akan memaklumkan kepada kami. Mereka tidak mahu petinju yang mewakili negara sekadar bertanding selepas itu kalah tanpa berjuang atau tidak menghabiskan pusingan perlawanan.

“Ketika terpilih menyertai Komanwel ‘98, saya berasa sangat bangga dan dihargai. Ia satu penghargaan dan di samping itu saya bertekad untuk tidak memalukan negara, ATM dan persatuan. Saya sentiasa fikir mahu buat terbaik dan ketika itu masih belum terbayang pingat emas lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2016 @ 5:19 AM