ANGGOTA penyelamat mengusung mangsa.
ANGGOTA penyelamat mengusung mangsa.
myMetro

Kuala Lumpur: Ditemui terbaring dalam keadaan mulut berbuih dan kepala berlumuran darah. Itu nasib malang menimpa seorang lelaki yang tercampak selepas dilanggar lari sebuah kereta pagi semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, mangsa, Mohamed Izuan Mohamed Sayuti, 31, yang menunggang motosikal dirempuh kereta model Perodua Myvi dipandu laju di lampu isyarat Persimpangan Jalan Tun Razak-Jalan Raja Muda Abdul Aziz, di sini.

Lebih malang apabila pemandu kereta terbabit terus memecut melarikan diri sejurus menyedari mangsa tidak sedarkan diri di atas jalan.

Seorang saksi kejadian yang enggan namanya didedahkan berkata, mangsa dipercayai pekerja restoran makanan segera dirempuh sejurus lampu isyarat bertukar hijau di persimpangan jalan berkenaan.

“Sebuah kereta Perodua Myvi hitam yang datang dari arah bertentangan melanggar isyarat merah dan merempuh mangsa.

“Beberapa orang awam yang berada di lokasi itu turut menyaksikan tindakan gila pemandu kereta terbabit yang jelas melanggar lampu isyarat merah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2016 @ 5:10 AM