Najib  beramah mesra dengan sebahagian peserta   pada Majlis Himpunan 15,000 Huffaz dan Perasmian Gabungan Persatuan Institusi Tahfiza Al-Quran Kebangsaan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Najib beramah mesra dengan sebahagian peserta pada Majlis Himpunan 15,000 Huffaz dan Perasmian Gabungan Persatuan Institusi Tahfiza Al-Quran Kebangsaan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Oleh Siti Fatimah Hassan


Kuala Lumpur: Dasar Pendidikan Tahfiz Negara dirangka kerajaan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memberi pengiktirafan serta memberi ruang mengembangkan pengajian maahad tahfiz di seluruh negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, dasar berkenaan dirangka selepas mengambil kira cadangan serta pandangan pelbagai pihak dengan memberi tumpuan lebih menyeluruh terhadap pendidikan tahfiz.

Beliau juga berharap supaya kewujudan dasar baru itu berupaya meningkatkan kefahaman terhadap Islam sekali gus dapat menolak golongan yang mengamalkan ekstremisme dan menggunakan label Islam sebagai alat demi kepentingan masing-masing.

“Dasar ini bukan dasar kerajaan sebaliknya ia akan dibentuk dengan cadangan serta pandangan daripada pelbagai pihak khususnya maahad tahfiz seluruh negara.

“Lulusan dari maahad tahfiz ini pejuang yang meneruskan pemeliharaan al-Quran sejak zaman Rasulullah SAW, kita patut meraikan mereka sebagai pejuang Islam sejati lagi hebat.

“Saya harap dasar tahfiz ini dapat membentuk masyarakat Islam yang mempunyai kefahaman kepada kesucian Islam dan ajaran Islam sebenar, supaya kita bersama boleh menolak golongan yang mengamalkan ekstremisme atau menggunakan label Islam tapi tidak menghayati ajaran Islam sebenar,” katanya ketika berucap di hadapan 15,000 huffaz di Majlis Himpunan Huffaz dan merasmikan Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran (PINTA) Kebangsaan di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, semalam.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan pemberian sokongan kewangan RM10,000 kepada setiap PINTA di peringkat negeri selain menjemput sepuluh wakil PINTA mengerjakan ibadah haji menerusi program haji sumbangan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bersama imam dan pemimpin masyarakat bermula tahun ini.

Beliau berkata, tajaan haji yang mula dilaksanakan sejak lima tahun lalu oleh Yayasan 1MDB itu, diberikan kepada PINTA sebagai penghargaan kerajaan terhadap peranan gabungan itu mengembangkan institusi maahad tahfiz di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2016 @ 6:55 AM