PELEKAT pada trak makanan juga menjadi pemintaan peniaga di Bintang Truck, Gombak.
PELEKAT pada trak makanan juga menjadi pemintaan peniaga di Bintang Truck, Gombak.
Oleh Nur Lela Zulkipli dan Rosyahaida Abdullah


Kuala Lumpur: Jika dikenang semula kira-kira 10 tahun lalu, perniagaan trak makanan kurang mendapat sambutan disebabkan orang ramai masih memilih restoran atau lebih selesa makan di rumah.

Namun, sejajar dengan perkembangan dan arus kemodenan, idea trak makanan semakin mendapat tempat di hati rakyat khusus golongan muda yang ingin mula berjinak dengan dunia perniagaan mengikut citarasa masing-masing.

Tempias fenomena trak makanan yang bermula sejak dua tahun kebelakangan ini, turut dirasai pengeluar trak pelbagai jenis yang mengambil peluang keemasan ini untuk membuka cabang perniagaan baru iaitu pakej trak makanan.

Bermula dengan idea untuk menerapkan kesedaran kepada penjaja tepi jalan supaya beralih kepada konsep trak makanan, Pengurus Operasi Bintang Truck, Eric Kee melihat perniagaan berorientasikan trak makanan berpotensi untuk menjadi antara pekerjaan paling digemari rakyat berikutan kebebasan untuk bergerak tanpa had.

Menurut Kee, setiap hari dia akan didatangi ramai pelanggan baru sama ada di kedai mahupun laman sosial untuk meminta nasihat berkenaan tip untuk memulakan perniagaan trak makanan dan antara kerisauan utama yang selalu didengari adalah modal permulaan.

“Saya faham ramai yang masih belum jelas mengenai modal yang perlu dikeluarkan untuk memiliki perniagaan trak makanan, namun percayalah bahawa ia tidak serumit yang disangka.

“Sudah semestinya setiap perniagaan memerlukan modal permulaan, namun bagi trak makanan ia hanya membabitkan pembelian trak dan bahan mentah tanpa perlu risau mengenai komitmen jangka masa panjang iaitu sewa kedai.

“Di sini, kita bukan hanya mengaut keuntungan semata-mata, kerana apa yang lebih penting adalah peniaga berupaya mengekalkan perniagaan sekali gus dapat menjana pendapatan yang stabil.

“Kita akan memperkenalkan kepada orang ramai mengenai trak makanan yang dibuka peniaga melalui laman sosial kerana ia lebih berkesan,” katanya ketika ditemui, di pejabatnya, di Gombak.

Lebih memudahkan, apabila Kee sendiri yang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mendapatkan lesen penjaja bagi pelanggannya yang ingin memulakan perniagaan trak makanan.

“Saya faham kepayahan bakal peniaga trak makanan untuk mendapatkan lesen kerana masih ada yang tidak tahu saluran yang perlu diikuti.

“Saya akan cuba sedaya upaya menyelesaikan semua urusan dalam tempoh singkat supaya pelanggan saya dapat berniaga secepat mungkin.

“Saya sedar apa yang saya lakukan berada di luar ruang lingkup perniagaan yang dijalankan, namun kepuasan dapat melihat pelanggan saya mula berniaga sukar untuk digambarkan melalui kata-kata,” katanya.

Ditanya mengenai trend penjualan makanan, Kee mendapati peniaga trak makanan lebih gemar memilih menu barat kerana ia tidak membabitkan banyak ramuan selain lebih cepat untuk disiapkan.

“Apa yang perlu dititikberatkan peniaga adalah masa, kebersihan, lokasi dan menu. Semua ini menjadi faktor kejayaan sesebuah trak makanan itu kerana daripada pengalaman saya, pelanggan akan sedaya upaya mencari makanan daripada trak makanan yang digemarinya,” katanya ketika ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2016 @ 6:41 AM