LAPORAN Harian Metro, 6 Januari 2010.
LAPORAN Harian Metro, 6 Januari 2010.
Zaharah  menunjukkan lokasi anaknya, Siti Khatijah terbaring kaku selepas dibunuh.
Zaharah menunjukkan lokasi anaknya, Siti Khatijah terbaring kaku selepas dibunuh.
Zaharah  dan  Arifin (tengah) berdiri di tapak rumah yang pernah mencatatkan tragedi pembunuhan.
Zaharah dan Arifin (tengah) berdiri di tapak rumah yang pernah mencatatkan tragedi pembunuhan.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Mohd Amin Jalil


Tampin: Sebaik menjejakkan kaki di pekarangan rumah di Kampung Bukit Rokan pada petang 5 Januari 2010, hati Zaharah Atan, 65, berdebar kencang sebaik mendapati rumahnya dikelilingi garisan kuning.

Dunia Zaharah seakan- akan kelam sebaik dimaklumkan dia kehilangan separuh ahli keluarganya apabila suami, Ismail Awang, 75, bapa, Atan Daud, 90, anak, Siti Khatijah, 22, dan ibu tiri, Salbiah Katas, 80, mati dibunuh.

Tragedi berdarah itu menggemparkan negara kerana keluarga itu bukan saja dibunuh, malah anak Zaharah, Rashidi, 40, memenggal dan memasukkan kepala bapanya dalam beg lalu bergerak ke pekan Tampin dengan menunggang motosikal.

Ketika itu, tiada siapa pun menyedari objek dalam beg galas dibawa Rashidi adalah kepala bapanya. Dia kemudian menaiki bas ke Shah Alam, Selangor untuk mengebumikan kepala itu di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21.

Rashidi dicekup polis di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada jam 4.05 petang pada 6 Januari 2010.

Zaharah berkata, pada awalnya dia menjangkakan ahli keluarganya dibunuh kejam oleh perompak, namun tidak menduga perbuatan itu dilakukan oleh anak keempatnya.

Enam tahun kejadian itu sudah berlalu, namun Zaharah tidak pernah sesekali menyimpan dendam terhadap Rashidi.

Bagi Zaharah, tragedi itu bukan disengajakan, tetapi Rashidi diserang gangguan jiwa selain mendakwa terdengar arahan ‘suara halus’ menyuruhnya membunuh.

“Saya sudah maafkan Rashidi kerana dia anak yang baik. Namun, kejadian itu mana mungkin dilupakan kerana mengorbankan empat ahli keluarga.

“Saya trauma dan sering terbayang kejadian itu ketika mahu tidur,” katanya yang berpindah ke rumah sewa di Rumah Rakyat Kampung Bukit Rokan sejak 14 Januari 2010.

Zaharah yang ditemui bersama adik, Ariffin, 58, dan anak sulung, Rosli, 45, berkata, individu pertama yang terlalu trauma adalah anak bongsunya, Siti Mariam, 24.

Pada masa itu, Siti Mariam, pelajar tingkatan enam yang pulang dari sekolah merasakan sesuatu yang pelik kerana Ismail yang selalu menjemputnya di jalan utama kampung tidak berbuat demikian.

Dalam keadaan marah, Siti Mariam berjalan sejauh lima kilometer dari sekolah dan kemarahannya bertambah apabila ketukan pintu hadapan tidak dibuka.

Siti Mariam masuk ke rumah melalui pintu dapur sebelum membuka peti ais untuk memakan buah epal.

Sebaik duduk di kusyen ruang tamu, Siti Mariam mendapati Siti Khatijah sedang ‘tidur’ lalu dimarahinya, namun tidak disahut.

Ketika itu, remaja terbabit mendekati kakaknya dan terkejut apabila melihat sebilah pisau terpacak pada dadanya sebelum darah mengalir di ruang tamu.

Siti Mariam berlari ke rumah datuk yang terletak bersebelahan untuk meminta bantuan, namun kejutan bertambah apabila dia mendapati Atan dan Salbiah juga dibunuh dalam keadaan tangan kanan serta kiri terputus.

Dia berlari semula ke rumahnya dan ternampak mayat bapanya tanpa kepala terbaring bersebelahan rumahnya.

“Rashidi tidak sengaja melakukan semua ini. Sepanjang dimasukkan ke Penjara Sungai Buloh, Penjara Kajang dan Hospital Permai, Tampoi, Johor, dia selalu memohon maaf dan meminta saya tidak menangis,” kata Zaharah.

Menurutnya, di dalam penjara, anaknya menulis novel selain mencipta lirik lagu untuk penyanyi Mamat Exist sewaktu di Penjara Raub, Pahang.

Dalam pada itu, Zaharah mengakui anaknya diserang gangguan jiwa kerana tertekan selain putus tunang.

“Mahkamah sudah memutuskan dia tidak bersalah dan semua ahli keluarga tidak berdendam. Apabila dia dibebaskan kelak, kami akan menerima dan mencarikannya pekerjaan,” katanya.

Dia berkata, anaknya itu juga memiliki ilmu agama kerana pernah belajar di sekolah agama di Seremban.

Sementara itu, Ariffin berkata, Rashidi yang juga bekas penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor banyak membantu anaknya ketika menyambung pengajian dan mendapatkan pekerjaan.

“Rashidi seorang yang pendiam, tetapi suka membantu. Dia bukan panas baran atau memiliki rekod jenayah. Rashidi anak dan abang yang baik, tambahan pula terlalu menyayangi adiknya, Siti Khatijah dan Siti Mariam,” katanya.

Bagi mengingati pengorbanan arwah Atan yang juga seorang imam, penduduk sepakat menukar nama Jalan Seri Villa kepada Jalan Imam Atan di kampung berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2016 @ 9:39 AM