ZAHIDI  (dua  kanan) sempurnakan gimik  penubuhan Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), Alor Gajah.
ZAHIDI (dua kanan) sempurnakan gimik penubuhan Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), Alor Gajah.
Oleh Norfaisal Jahuri


Alor Gajah: Lebih 700,000 pekebun kecil getah di negara ini bakal menikmati tawaran pembelian barangan makanan asas pada harga rendah menerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Pengerusi RISDA Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, langkah itu diambil bagi mengurangkan kos sara hidup pekebun kecil yang terjejas akibat penurunan harga getah dunia dan mereka ditawarkan membeli barangan makanan seperti beras, gula, ikan dan daging pada harga lebih murah berbanding pasaran semasa.

Beliau berkata, pihaknya akan menetapkan harga dan kuantiti jualan barangan makanan itu kepada pekebun berkenaan berdasarkan keperluan dan barangan terbabit bakal dijual menerusi pihak RISDA sendiri.

“Kami akan mendapatkan semua bahan makanan itu terus daripada pembekal untuk memastikan harganya kekal rendah dan diperoleh dalam jumlah yang secukupnya mengikut keperluan pekebun kecil.

“RISDA mempunyai kemampuan bagi menyimpan stok barangan makanan berkenaan dalam jumlah yang besar menerusi stor di pelabuhan sedia ada,” katanya ketika mewakili Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menyempurnakan majlis perasmian penubuhan Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) di Ayer Pa’abas, di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri Datuk Md Yunos Husin dan Naib Canselor UCAM Prof Datuk Dr Faridah Hanam Mohd Rashid.

Zahidi berkata, selain tawaran barangan makanan pada harga murah, pihaknya turut bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan lain dalam usaha memperkenalkan penanaman pokok yang boleh diproses menjadi produk perkayuan dalam tempoh singkat.

Menurutnya, memandangkan harga pasaran kayu getah hanya RM150 bagi satu hektar, adalah lebih baik pekebun kecil mencari alternatif dengan menanam pokok yang boleh memberikan hasil dalam tempoh lima tahun sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2016 @ 7:50 AM