Alfred Jabu (dua dari kiri) menyampaikan replika cek kepada Abang Wahab (kanan).
Alfred Jabu (dua dari kiri) menyampaikan replika cek kepada Abang Wahab (kanan).
myMetro

Petra Jaya: Kerajaan negeri menyatakan sokongan padu terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk terus menerajui Barisan Nasional (BN) dan memimpin negara.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, sokongan itu selaras dengan usaha Najib yang membawa banyak projek pembangunan termasuk menyediakan peruntukan besar bagi membina lebuh raya di negeri ini.

Menurutnya, Najib sentiasa mengambil berat kebajikan rakyat di negeri ini dengan melaksanakan pelbagai projek pembangunan menerusi agensi Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama kerajaan negeri.

“Sejak mengambil alih pentadbiran negara, Najib banyak membawa pembangunan kepada rakyat di negeri ini, terutamanya di kawasan pedalaman dan luar bandar.

“Beliau adalah Perdana Menteri yang paling kerap turun padang ke Sarawak bagi melihat sendiri setiap permasalahan rakyat, sekali gus mencari jalan penyelesaian dalam setiap masalah yang dihadapi mereka,” katanya selepas merasmikan Hari Landskap Negara 2016 Peringkat Kebangsaan di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama Sarawak, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan, Datuk Bandar Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Wahab Abang Julai dan Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk James Chan Khay Syn.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2016 @ 9:15 AM