Najib meluangkan masa bermain karom bersama penduduk warga emas selepas merasmikan Kompleks Komuniti Muhibbah, semalam.
Najib meluangkan masa bermain karom bersama penduduk warga emas selepas merasmikan Kompleks Komuniti Muhibbah, semalam.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Masyarakat perlu bersama kerajaan dan pasukan keselamatan memerangi segala bentuk jenayah, keganasan dan ekstremisme, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana menteri berkata, aspek keselamatan asas penting dalam pembangunan negara dan ia perlu diberi perhatian semua pihak.

“Asas tiang seri kepada mana-mana negara...tanpa keselamatan, kita tak mungkin membawa pembangunan, malah kita mungkin tak tidur jenera (lena) tiap-tiap malam kalau rasa diri kita dan keluarga tidak selamat,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Kompleks Komuniti Muhibbah dan Program Kenduri 1Wilayah Persekutuan di PPR Kampung Muhibbah, di sini, semalam.

Perdana Menteri berkata, soal keselamatan adalah empat perkara yang beliau selaku ketua pentadbiran kerajaan tekankan dan dijadikan keutamaan, manakala tiga lagi adalah kestabilan politik, tadbir urus ekonomi baik serta menangani kemaslahatan rakyat.

Bagi kestabilan politik, Najib berkata, kerajaan tidak bersifat kuku besi dan mengamalkan ‘dictatorship’, sebaliknya menyanjung tinggi prinsip demokrasi berparlimen.

“Setiap lima tahun kita kembalikan kepada rakyat pilih kerajaan dikehendaki. Tetapi antara dua pilihan raya (umum) kita kena jaga kestabilan politik,” katanya.

Perdana Menteri berkata, rakyat perlu memastikan kestabilan politik negara terjamin dan tiada yang mampu menggugatnya.

“Kalau hidup terumbang-ambing dari soal keselamatan dan kestabilan politik, yang rugi adalah rakyat jelata,” katanya.

Dalam soal tadbir urus ekonomi negara, Najib berkata, negara sentiasa berhadapan cabaran dan ancaman berkait rapat dengan ekonomi global, tetapi kerajaan mampu menguruskan ekonomi negara secara cekap serta berhemah.

“Kita tak dapat terlepas daripada ancaman atau kesan perkembangan ekonomi dunia seperti krisis ekonomi Asia pada 1997, 1998...kita juga terkesan. Kita terima kesan parah pada masa itu kerana kita mempunyai ekonomi terbuka. Begitu juga krisis ekonomi tertentu sebelum ini.

“Hari ini kita berdepan persekitaran luaran yang membawa kesan kepada ekonomi negara. Sebagai contoh harga minyak. Setiap dollar harga minyak jatuh, hasil negara berkurangan RM450 juta. Setahun dulu harga minyak AS$110 setong, hari ini jatuh begitu ketara AS$32-$AS34 setong. Bayangkan berapa bilion hasil negara hilang kesan kejatuhan harga minyak,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata, kerajaan masih berjaya mentadbir urus ekonomi negara dengan baik dan dibuktikan dengan perakuan positif Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan beberapa agensi penarafan antarabangsa.

Najib berkata, dalam apa keadaan, kerajaan memberi keutamaan dan mendahulukan kemaslahatan rakyat.

Kompleks Komuniti Muhibbah merangkumi pembangunan dewan pusat komuniti, gelanggang badminton, perpustakaan, pusat aktiviti warga emas, Klinik 1Malaysia, tadika, surau yang diberi kelulusan mengadakan solat Jumaat dan taman permainan kanak-kanak.

Kompleks berhawa dingin itu mula dibina pada 24 Julai 2014 dan siap pada 18 Januari 2016 memberi keselesaan kepada 10,693 penghuni daripada 2,458 keluarga di PPR Kampung Muhibbah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2016 @ 9:36 AM