Oleh Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Dewan Negara Perak menyifatkan aktiviti meletakkan harga untuk mendapatkan sesuatu anugerah dan gelaran Datuk Negeri Perak yang disampaikan oleh individu tertentu serta diadakan di tempat tertentu seperti dilaporkan media baru-baru ini, adalah satu bentuk penipuan untuk mendapatkan wang, sedangkan anugerah diberikan itu tidak diiktiraf kerajaan dan negeri.

Setiausaha Dewan Negara Perak Datuk Ayop Hashim berkata, anugerah sesuatu darjah kebesaran dan pengurniaan pingat adalah khusus terletak di bawah budi bicara Raja Pemerintah dan penerima anugerah tidak diperlukan membayar sebarang wang untuk melayakkan diri mereka mendapat penganugerahan.

“Dewan Negara Perak mengikuti laporan media berkaitan dengan kegiatan menjual dan menganugerahkan gelaran Datuk Negeri Perak oleh individu tertentu dan acara penganugerahan itu yang dianjurkan di tempat tertentu.

“Ingin dijelaskan bahawa anugerah sesuatu darjah kebesaran dan pengurniaan pingat adalah khusus terletak di bawah budi bicara Raja Pemerintah. Nama penerima anugerah disaring dan ditapis oleh Jawatankuasa Dewan Negara yang dipengerusikan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja sebelum diangkat sembah untuk mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan.

“Penganugerahan yang diperkenankan adalah atas pertimbangan khidmat dan jasa seseorang individu kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan dan negeri Perak Darul Ridzuan dan penerima anugerah tidak diperlukan membayar sebarang wang untuk melayakkan diri mereka mendapat anugerah,” katanya, semalam.

Menurutnya, apabila nama penerima anugerah atau pingat itu sudah diperkenankan Sultan Perak, Setiausaha Kerajaan Negeri akan mengutus surat kepada bakal penerima bagi memaklumkan anugerah atau pingat yang bakal diterimanya serta menetapkan tarikh istiadat penganugerahan dilakukan.

“Semua penerima anugerah akan menerima anugerah daripada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan dan istiadat penganugerahan dilangsungkan di Balairung Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar,” katanya.

Beliau berkata, Dewan Negara Perak akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat kes penganugerahan palsu yang mengaitkan dengan negeri ini.

Minggu lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dilaporkan berkata, polis kini sedang menjalankan siasatan berhubung kes pemberian bintang dan darjah kebesaran palsu dengan menggunakan nama istana.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2016 @ 9:37 AM