AHLI keluarga Syatilla sibuk menyiapkan cenderahati untuk diberikan kepada tetamu.
AHLI keluarga Syatilla sibuk menyiapkan cenderahati untuk diberikan kepada tetamu.
Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

Nibong Tebal: “Alhamdulillah, segala persiapan berjalan lancar dengan bantuan semua pihak termasuk ahli keluarga serta sanak saudara,” kata ibu kepada pelakon Syatilla Melvin yang bakal melangsungkan perkahwinan dengan pelakon Shaheizy Sam, Isnin ini.

Robiah Abd Rahman berkata, kerja menyiapkan khemah dan cenderahati masih giat dijalankan manakala persiapan pelamin akan bermula hari ini termasuk persiapan untuk majlis berinai yang akan diadakan malam esok.

Beliau berkata, untuk majlis perkahwinan ini, tiga majlis berasingan diadakan iaitu malam berinai, akad nikah dan resepsi yang bermula dari Ahad, Isnin dan Selasa.

Katanya, majlis malam berinai dan akad nikah akan diadakan di kediaman keluarga di Bukit Jawi Golf Villa manakala majlis persandingan pula di Bukit Jawi Golf Resort.

“Lebih 4,000 tetamu dijemput termasuk Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Sharif,” katanya, semalam.

Sementara itu, kakak Syatilla, Datin Seri Siti Nur Syafiqah Melvin berkata, perasaan berdebar amat dirasai semua ahli keluarga apabila majlis yang diberikan jolokan ‘Wedding Of The Year’ selepas menerima tajaan lebih RM25 juta itu akan berlangsung dalam masa beberapa hari lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2016 @ 5:21 AM