NAJIB bersama Ahmad Bashah bersalaman dengan pelajar selepas merasmikan SJKT Ko Sarangapani, semalam.
NAJIB bersama Ahmad Bashah bersalaman dengan pelajar selepas merasmikan SJKT Ko Sarangapani, semalam.

Kulim: Pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ko Sarangapani, Lunas, dekat sini, menyasarkan pencapaian kelulusan sehingga 80 peratus apabila seramai 74 calon bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada hujung tahun ini.

Guru Besarnya, S Karunamurthi berkata, semua murid tahun enam berkenaan adalah calon sulung menduduki peperiksaan UPSR di sekolah ini apabila mula dibuka pada Mac tahun lalu.

Menurutnya, berikutan itu, semua pihak terutama guru perlu berusaha lebih keras dan gigih untuk memastikan sasaran yang ditetapkan mampu menjadi kenyataan.

“Ia adalah satu cabaran terutama kepada guru kerana murid ini akan menjadi penanda aras dari segi akademik untuk SJKT Ko Sarangapani kerana mereka juga akan menaikkan nama sekolah.

“Malah, pertukaran nama daripada SJKT Paya Besar kepada SJKT Ko Sarangapani yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut menjadi pemangkin semangat kepada guru, murid serta ibu bapa agar mampu memperoleh kecemerlangan dalam bidang akademik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Perdana Menteri merasmikan sekolah terbabit yang mempunyai dua blok bangunan tiga tingkat dengan seramai 445 murid dari tahun satu hingga enam, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan dan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tan Sri Madinah Mohammad dan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof.

Menurutnya, sebagai persediaan, pihak sekolah memberi lebih tumpuan kepada calon UPSR terbabit dengan memberi lebih banyak latihan di samping mengadakan kelas tambahan.

Katanya, pihaknya berharap murid terbabit mampu mengukir sejarah sekolah kerana mereka adalah kumpulan pertama yang akan menduduki peperiksaan UPSR.

“Pada masa sama, saya juga berbangga sebagai guru besar apabila sekolah ini menjadi SJKT yang pertama dirasmikan Perdana Menteri.

“Ia adalah satu anugerah, malah akan menjadi kenangan tidak akan dilupakan selepas lebih 25 tahun berkhidmat sebagai guru,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2016 @ 5:15 AM