DUDUK tengah, Mhd Amin menyaksikan Elyas Omar  menandatangani plak perasmian Auditorium Elyas Omar.
DUDUK tengah, Mhd Amin menyaksikan Elyas Omar menandatangani plak perasmian Auditorium Elyas Omar.
Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menaik taraf Perpustakaan Kuala Lumpur membabitkan kos kira-kira RM17 juta supaya kelihatan lebih interaktif dan moden, sekali gus menarik minat orang ramai untuk mengunjunginya.

Datuk Bandar DBKL Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz berkata, penambahbaikan itu merangkumi ruang bangunan Perpustakaan Kanak-Kanak dan galeri selain membina jambatan pejalan kaki yang dipenuhi pameran serta bahan interaktif.

Beliau berkata, pihaknya bercadang membina ruang pameran yang lebih luas, teater, studio muzik, bilik 6D dan menambah lebih banyak bahan bacaan demi memastikan Perpustakaan Kuala Lumpur mempunyai pelbagai sumber rujukan selain ruang yang lebih selesa untuk orang ramai.

“Kami mahu menjadikan perpustakaan ini mempunyai pelbagai kemudahan khusus untuk pengunjung, sekali gus menarik minat mereka untuk mengunjunginya selain memupuk sifat suka membaca dalam kalangan kanak-kanak.

“Pada masa sama, jambatan pejalan kaki yang menghubungkan antara bangunan perpustakaan nanti turut dipamerkan bahan bacaan digital seperti papan iklan supaya memudahkan pengunjung mengetahui maklumat berkaitan buku terbaru atau program yang bakal berlangsung nanti,” katanya pada Majlis Perasmian Auditorium Elyas Omar, di sini, semalam.

Hadir sama di majlis itu, Mantan Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Elyas Omar dan Lembaga Penasihat Perpustakaan Kuala Lumpur Datuk Seri Matshah Safuan.

Mhd Amin Nordin berkata, penambahbaikan itu akan dilaksanakan pertengahan tahun depan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2017.

“Kami mahu menyediakan kemudahan mesra pengguna iaitu mereka boleh menggunakan sistem interaktif untuk meminjam buku atau mengetahui program yang dilaksanakan pihak perpustakaan tanpa perlu ke kaunter,” katanya.

Sementara itu, Matshah berkata, setakat ini, keahlian Perpustakaan Kuala Lumpur sudah mencecah 100,000 orang dan akan terus meningkat berdasarkan program serta penambahbaikan yang dilaksanakan nanti.

“Kami juga sudah membina perpustakaan mini di setiap parlimen kecuali Seputeh, di sini, dan dalam perancangan tiga lagi akan dibina di Danau Kota, Titiwangsa serta Pusat Transformasi Bandar (UTC) Puduraya dalam masa terdekat ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2015 @ 9:59 AM