KELUARGA mangsa, Lim See Ley kelihatan sebak ketika ditemui di rumahnya di Batu Pahat.
KELUARGA mangsa, Lim See Ley kelihatan sebak ketika ditemui di rumahnya di Batu Pahat.
Oleh Mohd Hanafis Abdul Haris

Batu Pahat: “Setiap kali pulang bercuti, ibu bawa balik hadiah dan pemberian beberapa bulan lalu adalah terakhir buat kami,” kata Goh Chia Ho, 30, anak kepada seorang mangsa nahas kemalangan di Chiang Mai, Thailand, Ahad lalu.

Chia Ho adalah anak kepada Ong Chai Hong, 58, yang disahkan terkorban dalam kemalangan itu manakala bapanya, Goh Bak Chai, 60-an cedera ringan dan hanya mengalami luka di kepala.

Menurutnya, ibu dan bapanya itu memang kerap bercuti di luar negara dan rombongan mereka ke Chiang Mai bukan yang pertama.

Chia Ho berkata, disebabkan itu, ibunya kerap membawa hadiah setiap kali pulang daripada bercuti.

“Namun apakan daya, ibu sudah tiada dan kemalangan di sana amat memeranjatkan saya dan ahli keluarga lain. Tiada lagi senyuman atau hadiah setiap kali kami menjemputnya di lapangan terbang,” katanya.

Dia berkata, dia dimaklumkan mengenai kemalangan itu selepas dihubungi pihak pengurusan agensi pelancongan kira-kira jam 4 petang, Ahad lalu.

“Saya tidak menyangka perkara ini berlaku kerana kali terakhir saya hubungi ibu pada pagi Sabtu, dia baik-baik saja malah teruja dengan rombongan kali ini kerana disertai beberapa rakannya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Parit Haji Sidek, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2015 @ 9:12 AM