KUMPULAN penyelidik UTM bersama Dr Yeong (dua dari kanan).
KUMPULAN penyelidik UTM bersama Dr Yeong (dua dari kanan).
KHOR menunjukkan alat CR2-haptik.
KHOR menunjukkan alat CR2-haptik.
Oleh Mohamad Fahd Rahmat

Johor Bahru: Pasukan penyelidik muda Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus unggul di persada antarabangsa apabila projek Robot Pemulihan Kompak (CR2) ciptaan mereka memenangi Anugerah Merit sempena Anugerah Perikatan Asia Pasifik Teknologi Maklumat dan Komunikasi (APICTA) 2015 di Colombo Sri Lanka, Sabtu lalu.

Lebih membanggakan projek CR2 diketuai pelajar doktor falsafah (PhD) Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) Khor Kang Xiang, 25, bersama tujuh rakan yang lain sudah meraih 20 anugerah dari dalam dan luar negara.

Khor berkata, projek diselia tiga pensyarah termasuk Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTM, Dr Yeong Che Lai hasil percambahan idea menerusi kajian keperluan bagi pesakit strok yang memerlukan rawatan fisioterapi intensif tanpa memerlukan tenaga manusia, menjimatkan kos dan berkesan.

“Saya dipelawa Dr Yeong untuk terbabit dalam melengkapkan projek PhDnya dan bermula daripada itu timbul idea mencipta CR2 bagi kegunaan pesakit angin ahmar dan ia projek tahun akhir Ijazah Kejuruteraan Elektrik (Mekatronik) pada 2012.

“Saat paling sukar dalam proses penciptaan CR2 ini apabila hanya saya seorang saja tinggal untuk melengkapkan kajian, namun apabila melihat pesakit angin ahmar seronok dan semakin pulih hasil penggunaan prototaip CR2, dari situ timbul motivasi besar menamatkan kajian ini,” katanya ketika ditemui di UTM semalam.

CR2 adalah satu siri sistem pemulihan yang direka supaya padat, mudah alih dan berpatutan. Susulan penemuan R&D itu, dua ciptaan iaitu CR2-haptik dan InnovaBoard berjaya dihasilkan selain bakal dikomersialkan.

Khor berkata, banyak syarikat luar negara berminat memasarkan produk itu dan Syarikat Techcare Innovation Sdn Bhd menjangkakan memperoleh keuntungan RM34 juta dalam jualan produk CR2-haptik dan InnovaBoard untuk tiga tahun.

“Produk ini dihasilkan di Johor untuk dieksport ke Hong Kong, Amerika Syarikat, Singapura dan China dengan anggaran jualan permulaan RM41,970 seunit CR2-haptik dan RM4,100 untuk Innovaboard,” katanya.

Katanya, beliau berterima kasih kepada semua pihak membantu dalam melaksanakan projek berkenaan termasuk pentadbiran UTM, Cradle Coach and Grow, CREST dan L2M selain Kementerian Pendidikan Tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 9:41 AM