OBAMA bertanyakan sesuatu kepada  seorang murid    di Dignity for Children Foundation, semalam.
OBAMA bertanyakan sesuatu kepada seorang murid di Dignity for Children Foundation, semalam.

Kuala Lumpur: Sekumpulan kanak-kanak dalam bilik darjah di Dignity For Children Foundation mungkin tidak sedar bahawa antara tetamu bersama mereka adalah seorang insan paling berkuasa di planet ini.

“Helo semua... Apa khabar anda semua?” Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama memberi salam kepada kanak-kanak berusia tujuh dan sembilan tahun ketika memasuki bilik darjah itu pada jam 11.10 pagi, semalam.

Mengabaikan protokol, bapa kepada dua anak itu, membongkok untuk bercakap dengan kanak-kanak di yayasan itu yang juga sebuah institusi pendidikan amal bagi mangsa pelarian dan kanak-kanak miskin bandar di Sentul.

Obama berinteraksi dengan kanak-kanak termasuk dari Myanmar yang ketika itu sibuk menyiapkan projek seni dan sains, dengan bertanya mereka mengenai subjek kegemaran dan cita-cita mereka serta memberikan kata-kata perangsang.

Obama tiba di ibu negara semalam untuk menghadiri Sidang Kemuncak Ketiga ASEAN-Amerika Syarikat serta Sidang Kemuncak Asia Timur Ke-10 sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2015 @ 5:36 AM