Irbid (Jordan): “Tentera Bashar bertindak kejam dengan mengebom bangunan sekolah, masjid, padang permainan dan kediaman tanpa mempedulikan nasib penduduk terutama kanak-kanak yang berada di kawasan terbabit,” kata pelarian Syria, Jasim Muhammad, 45, yang menyaksikan sendiri kejadian itu di depan matanya.

Menurutnya, kediamannya di Halab, Syria musnah terkena bom menyebabkan dia melarikan diri ke negara ini pada 2012 untuk mendapatkan perlindungan.

“Kebanyakan mereka yang terkena bom terkorban dalam kejadian itu dan mayat bergelimpangan.

“Malah, beberapa saudara saya terbunuh akibat serangan itu menyebabkan saya nekad datang ke sini dan sebaik berpindah saya mendapat berita kediaman saya juga musnah terkena bom,” katanya.

Jasim berkata, tentera Bashar tidak berperikemanusiaan apabila sanggup membunuh orang ramai termasuk kanak-kanak.

“Kanak-kanak bermain di taman permainan menjadi mangsa apabila mereka datang dan terus mengebom kawasan itu.

“Saya tidak dapat menggambarkan kekejaman mereka tergamak membunuh manusia sesuka hati,” katanya.

Katanya, selepas berpindah ke sini, hidupnya aman dan walaupun hidup susah, namun nyawanya terselamat serta tidak menjadi korban.

“Syukur ramai pihak membantu kami di sini dan saya berharap suatu hari nanti Syria akan kembali aman dan dapat pulang semula ke sana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2015 @ 5:08 AM