ISMAIL Sabri menyampaikan anugerah kepada Muhammad Faizi yang ditemani bapanya, Abd Kadir Omar.
ISMAIL Sabri menyampaikan anugerah kepada Muhammad Faizi yang ditemani bapanya, Abd Kadir Omar.

Putrajaya: Walaupun sibuk dengan pelbagai tugasan, seorang pelajar sanggup menempuh perjalanan lebih 200 kilometer dari Melaka ke Johor saban minggu menunggang motosikal demi menjaga ibunya yang sakit.

Pengorbanan itu akhirnya berbaloi apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) pada Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) ke-14, di sini, semalam.

Graduan program Diploma Pengurusan Landskap, Muhammad Faizi Abdul Kadir, 22, dipilih selepas memperoleh keputusan gred kumulatif terkumpul (CGPA) sebanyak 3.54, selain menghargai pembabitannya yang aktif dalam bidang kokurikulum di institusi itu.

Anak peneroka Felda Palong Timur Negeri Sembilan itu berkata, disebabkan terlalu rapat dengan ibu bapa, dia sentiasa berkongsi setiap masalah termasuk berkaitan pelajaran dengan mereka selain sanggup berulang-alik ke kampung menjenguk mereka.

“Walaupun masih belajar, saya akan berulang-alik dari kolej di Melaka untuk pulang ke kampung di Johor setiap minggu bagi memastikan saya mempunyai peluang menjaga ibu yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang,” katanya ketika ditemui pada Konvokesyen UCAM kali ke-14, di sini, semalam.

Anugerah disampaikan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Turut hadir, Pengerusi Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2015 @ 10:29 AM