DR Ahmad Zahid (tengah) bersama tetamu pada Sidang Kemuncak Ekonomi China Dunia (WCES) Ke-7,  di London, kelmarin.
DR Ahmad Zahid (tengah) bersama tetamu pada Sidang Kemuncak Ekonomi China Dunia (WCES) Ke-7, di London, kelmarin.
BERNAMA

London: Malaysia berpendapat hubungan ASEAN dan China yang kukuh penting bagi keamanan dan kemakmuran serantau di Asia Tenggara, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan negara anggota ASEAN perlu melipatgandakan usaha mengambil langkah membina keyakinan dan strategi menangani konflik bagi mengelak sebarang konflik tidak sengaja di Laut China Selatan yang sesak.

“Apa yang kita saksikan hari ini, dalam beberapa cara, usaha mengimbangkan semula keseimbangan global. Jika kita imbas kembali 500 tahun ke abad ke-16, Asia bukan saja mewakili majoriti penduduk dunia seperti hari ini, tetapi turut menyumbang hampir 50 peratus daripada perdagangan dunia.

“Kemunculan semula situasi seperti itu perlu membabitkan langkah bagi memikirkan semula dasar dan amalan semasa,” katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Ekonomi China Dunia (WCES) Ke-7, di sini, kelmarin.

Sidang kemuncak itu dianjurkan Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) dan Asia House.

Dalam ucaptama bertemakan ‘Memperkukuh Hubungan China-ASEAN: Ke Arah Perkongsian Kemakmuran’, Ahmad Zahid berkata, komuniti serantau tidak lagi boleh bertindak mementing diri secara unilateral atau mengekalkan minda perang dingin ‘kita menentang mereka’ dalam pembabitan mereka di peringkat antarabangsa.

“Kerjasama penting jika mahu mengelakkan konflik. Keterbukaan dan ketelusan dalam urusan sesama kita juga menjadi penting,” kata Ahmad Zahid yang kini di hari terakhir lawatan empat hari beliau ke United Kingdom.

Katanya Malaysia, seperti negara lain ASEAN, mempunyai peranan penting sebagai pintu masuk mengimbangi aliran perdagangan global dengan China, seperti digambarkan di bawah inisiatif ‘One Belt One Road’ China.

“Sebagai Pengerusi ASEAN dan Sidang Kemuncak China-ASEAN akhir bulan ini, saya yakin Malaysia mengemudi ASEAN dan meningkatkan hubungan dua hala dengan China, serta memberi tumpuan kepada integrasi ekonomi dan memupuk properusahaan, sentimen mesra pelabur kepada jiran kita,” kata beliau.

Timbalan perdana menteri juga berkata, sebagai anggota pasukan global, nyata sekali usaha Malaysia menjalinkan kerjasama antarabangsa tidak hanya membabitkan China atau rakan lain ASEAN.

“Ketika kita bergerak menuju Perkongsian Trans Pasifik, kita bakal menyaksikan Komuniti Ekonomi ASEAN menjadi kenyataan, blok perdagangan bebas yang Malaysia dan rakan negara anggota mahu gunakan untuk mendekati rakan di Barat dan Timur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2015 @ 10:20 AM