Kuala Lumpur : Tidak tahan diperas ugut ‘abang kawasan’ sejak tujuh bulan lalu menyebabkan seorang pengurus di tapak projek kondominium berhampiran Taman U-Thant di sini, akhirnya membuat laporan polis.

Mangsa sebelum ini kerap diugut dua lelaki yang memintanya membayar wang perlindungan jika tidak mahu peralatan pembinaan dan jengkaut dibakar.

Dalam kejadian jam 4.30 petang kelmarin, mangsa mendakwa didatangi dua lelaki ketika berada di tapak projek terbabit dan memintanya membayar wang sebanyak RM5,000.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, suspek mengugut untuk membakar sebuah jengkaut yang berada di lokasi berkenaan jika mangsa enggan membayar wang diminta.

Mangsa yang tidak mempunyai pilihan terpaksa mengikut suspek menaiki pacuan empat roda ke sebuah bank di Bukit Bintang di sini.

Menurutnya, selepas menyerahkan duit terbabit, mangsa dihantar pulang ke tapak projek sebelum dia membuat laporan polis.

Katanya, polis bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju mengesan dan menangkap seorang suspek berusia 30 tahun di sebuah kawasan di Batu 9 Cheras, kira-kira 11.30 malam hari sama.

“Hasil soal siasat mendapati suspek bekerja sebagai mekanik. Polis turut menemui kenderaan yang digunakan suspek untuk tujuan peras ugut.

“Mangsa mendakwa kerugian RM34,000 sejak April lalu dan polis kini sedang menjejaki rakan suspek yang dipercayai terbabit dalam kes itu,” katanya.

Mohamad Roy berkata, pihaknya bertekad untuk memerangi budaya jaga kawasan khususnya di tapak pembinaan di sekitar kawasannya.

“Polis masih menyoal siasat suspek bagi mengetahui lokasi tapak pembinaan lain yang turut menjadi sasaran suspek,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2015 @ 6:23 AM