ANGGOTA pasukan penyelamat menemui mangsa yang lemas selepas terjun ke laut bagi mengelak pemeriksaan polis.
ANGGOTA pasukan penyelamat menemui mangsa yang lemas selepas terjun ke laut bagi mengelak pemeriksaan polis.
Oleh Hazsyah Abdul Rahman

Sandakan: Remaja yang terjun ke laut sebaik dihampiri anggota polis ketika melepak bersama dua rakannya di Tembok Sandakan, Jalan Coastal, awal pagi kelmarin dipercayai berbuat demikian bagi mengelak diperiksa pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Zabidi Md Zain berkata, dalam kejadian jam 1.15 pagi, sepasukan anggotanya yang menjalankan rondaan di kawasan itu menyedari kelibat tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan sebelum mendekati mereka untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, tiga individu terbabit terus melarikan diri dengan seorang daripada mereka terjun ke laut dan gagal dikesan manakala dua rakannya berjaya ditahan.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua individu yang ditahan tidak memiliki dokumen pengenalan keterangan diri dan ditahan untuk siasatan lanjut.

Katanya, tidak lama selepas kejadian itu kira-kira jam 1.40 pagi, pihaknya menerima maklumat daripada orang ramai mendakwa melihat seorang lelaki terjun ke laut dan masih tidak timbul.

“Pengadu mendakwa melihat seorang lelaki berlari ke arah mereka sebelum terus terjun dan cuba berenang ke tengah laut seterusnya hilang daripada pandangan.

“Berdasarkan maklumat pakaian yang dimaklumkan pengadu, polis mendapati ia menyamai pakaian dipakai suspek ketiga yang berjaya melepaskan diri daripada pemeriksaan. Mangsa disyaki tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan berusia 18 tahun,” katanya.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan bagi mengesan mangsa yang dikhuatiri lemas.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki terbabit menetap di Kampung Gelam dan dalam perjalanan ke Pasar Umum Bandar Sandakan.

“Ketika dalam perjalanan, mangsa terserempak dengan sepasukan anggota polis lalu terus melarikan diri. Hasil siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu, namun siasatan lanjut masih dilakukan,” katanya.

Difahamkan, mayat mangsa ditemui tersangkut pada tali sauh sebuah kapal yang berlabuh pada jam 6.50 pagi semalam sebelum dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2015 @ 9:38 AM