ANGGOTA bomba  memberikan rawatan sebelum mangsa dibawa ke Hospital Kajang.
ANGGOTA bomba memberikan rawatan sebelum mangsa dibawa ke Hospital Kajang.

Semenyih: Seorang pelajar perempuan mengalami detik cemas apabila mengalami masalah dehidrasi ketika berada di puncak Bukit Broga, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 9.52 pagi semalam, mangsa, Nabiha Farzana Che Ismail, 19 dikatakan pitam dan loya tekak setibanya di atas puncak bukit.

Difahamkan, mangsa tidak mengambil sebarang makanan sebelum memulakan pendakian.

Namun, sebaik tiba di puncak, mangsa dikatakan tiba-tiba rebah menyebabkan rakannya panik dan segera menghubungi talian kecemasan bagi meminta bantuan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, mangsa dikatakan terbaring ketika pasukan penyelamat tiba di puncak bukit berkenaan.

“Operasi itu turut menghadapi sedikit kesukaran berikutan laluan turun bukit yang agak curam.

“Anggota bomba terpaksa menggunakan pengusung dan tali untuk memudahkan mangsa dibawa turun ke kaki bukit berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mangsa dihantar ke Hospital Kajang bagi mendapatkan rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2015 @ 9:02 AM