ANGGOTA bomba mengusung wanita sejauh 1.7 kilometer untuk dibawa turun bagi mendapatkan rawatan.
ANGGOTA bomba mengusung wanita sejauh 1.7 kilometer untuk dibawa turun bagi mendapatkan rawatan.
Oleh Siraj Mohd Zaini

Semenyih: Anggota bomba dan penyelamat bermandi peluh apabila perlu mengusung seorang wanita berusia 50 tahun sejauh lebih 1.7 kilometer dari puncak Bukit Broga, di sini.

Dalam kejadian jam 8 pagi semalam, wanita itu dikatakan terkandas di atas puncak bukit berkenaan selepas diserang sakit darah tinggi.

Difahamkan mangsa mendaki bersama ahli keluarganya kira-kira jam 6 pagi untuk menikmati pemandangan indah matahari terbit di puncak bukit berkenaan.

Bagaimanapun sebaik tiba di puncak bukit itu, mangsa tiba-tiba rebah tidak sedarkan diri menyebabkan ahli keluarganya panik dan segera menghubungi talian kecemasan bagi meminta bantuan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, mangsa yang mengidap penyakit darah tinggi itu turut muntah ketika pasukan penyelamat tiba di puncak bukit berkenaan

“Anggota bomba terpaksa menggunakan pengusung untuk memudahkan mangsa dibawa turun ke kaki bukit berkenaan,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2015 @ 6:24 AM