Oleh Nur Lela Zulkipli

Kuala Lumpur: Dulu mereka menghuni Anjung Singgah kerana tiada wang dan memerlukan perlindungan. Namun kini, atas usaha pengurusan pusat berkenaan, mereka sudah ada pekerjaan tetap dan mampu menyewa di kawasan lain untuk meneruskan kehidupan.

Seorang bekas penghuni yang mahu dikenali sebagai Kamal menganggap Anjung Singgah adalah tempat perlindungan yang berjaya mengubah kehidupannya menjadi lebih baik.

Beliau yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu ditawarkan jawatan pembantu tukang masak di bawah Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) ketika mendapat bantuan perlindungan daripada Anjung Singgah kira-kira dua bulan lalu.

Menurutnya, dia tidak mungkin dapat melupakan bantuan yang diberikan sepanjang berada di premis berkenaan biarpun tiada wang ringgit yang dapat diberikan sebagai pulangan.

“Saya datang ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan yang lebih baik, namun semuanya bertukar menjadi episod mimpi ngeri apabila asrama pekerja yang disediakan majikan lama dihuni ramai penagih dadah.

“Saya terpaksa berhenti kerja kerana tidak boleh duduk serumah dengan golongan berkenaan yang mungkin boleh mempengaruhi saya melakukan sesuatu yang tidak baik,” katanya.

Kamal berkata, dia seolah-olah hilang hala tuju selepas kehilangan kerja dan tempat tinggal pada masa sama, ditambah lagi dengan keadaan kewangan yang sedang ‘nazak’.

“Saya tidak mempunyai saudara atau keluarga di Kuala Lumpur sehinggalah saya dicadangkan oleh kenalan untuk mendapatkan bantuan daripada Anjung Singgah yang mudah dikunjungi kerana terletak di tengah bandar.

“Sebaik sampai di Anjung Singgah, saya tidak sangka layanan yang diberikan sangat baik bukan saja daripada tenaga pekerja, malah penghuni yang senasib dengan saya,” katanya.

Katanya, kini dia sudah boleh menjalani kehidupan sebagai manusia biasa selain menumpukan sepenuh perhatiannya menyediakan makanan yang berkualiti untuk penerima bantuan PBSM.

Seorang lagi bekas penghuni yang dikenali sebagai Hamid, 30, berkata, lima hari lalu adalah tempoh paling malang dalam hidupnya apabila semua barangan berharga dicuri semasa sedang berehat di tempat awam di ibu negara sebaik tiba dari kampung halaman.

Beliau yang berasal dari Taiping, Perak datang ke ibu kota untuk mencari kerja, Jumaat minggu lalu dan tidak menyangka terpaksa berdepan kejadian pahit berkenaan yang menyebabkan dia tinggal sehelai sepinggang.

Menurut Hamid, dia bersyukur apabila menemui Anjung Singgah, di sini, pada Sabtu lalu biarpun niat asalnya ke premis berkenaan adalah untuk meminta sedikit minuman berikutan penat berjalan dari Masjid Negara.

“Pekerja Anjung Singgah mempelawa saya masuk dan saya terus menceritakan peristiwa pahit yang menimpa saya sebaik tiba di Kuala Lumpur tempoh hari.

“Tanpa membuang masa, pihak Anjung Singgah terus hubungi Jabatan Tenaga Kerja (JKT) bagi tujuan penyesuaian kerjaya untuk saya selain memberi saya tempat perlindungan,” katanya ditemui, di sini, semalam.

Hamid berkata, tidak sampai 24 jam, satu syarikat pengawal keselamatan tiba di Anjung Singgah untuk menemuduganya dan terus menawarkannya jawatan pengawal keselamatan di sebuah pusat beli belah di ibu negara.

“Saya tidak tahu apa yang akan terjadi sekiranya saya masih mencari tempat perlindungan berikutan dokumen pengenalan diri turut dicuri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 5:53 AM