Bidor: Seorang warga emas ditemui mati dipercayai lemas di dalam perigi di rumahnya di Kampung Cold Stream, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa Cheong Nyok Yin, 67, yang mengalami masalah mental ditemui suaminya dalam perigi berkenaan dipercayai selepas mangsa memanjat tembok perigi untuk mengambil air.

Menurut sumber, suami mangsa yang baru balik dari kedai selepas sejam keluar dari rumah puas mencari isterinya sebelum menemui mayat di dalam perigi itu.

Perigi itu kedalamannya lebih dua meter.

“Mangsa mempunyai masalah mental, kadangkala suka keluar merayau-rayau. Tidak sangka pula dalam tempoh satu jam ditinggalkan di rumah dia boleh bertindak sedemikian.

“Tapi, kami perlu fikir positif. Mangsa sudah berusia kekuatan badannya lemah. Mungkin ketika mengambil air dia terjatuh di dalam perigi dan tidak berdaya menyelamat diri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Som Sak Din Keliaw ketika dihubungi mengesahkan seorang pesakit mental lemas dalam perigi di rumahnya.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila mangsa bersendirian di rumah selepas suami ke kedai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 6:50 AM