RAMLAN (kanan) memberi keterangan kepada  peserta OPCW.
RAMLAN (kanan) memberi keterangan kepada peserta OPCW.

Johor Bahru: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi tumpuan 16 pakar sains seluruh dunia untuk menimba ilmu dan pengalaman berkaitan penghasilan produk bioteknologi berasaskan herba tempatan.

Pengarah Institut Pembangunan Bioproduk (IBD) UTM Prof Ramlan Aziz berkata, inisiatif UTM bersama Pertubuhan Pencegahan Senjata Kimia (OPCW) di bawah Program Pembangunan Produk Herba diadakan selama dua minggu mulai 27 September lalu.

Beliau berkata, kemudahan dan teknologi ciptaan UTM memberi pelbagai pendedahan kepada kumpulan pakar sains untuk membawa pulang ilmu dalam bidang bioteknologi bagi penghasilan produk makanan dan kosmetik.

Menurutnya, pemilihan UTM bagi mengendalikannya membuktikan kepercayaan OPCW untuk terus komited dalam bidang sains dan teknologi bersama universiti berkenaan yang memiliki pelbagai kemudahan.

Katanya, institut berkenaan juga berpengalaman dalam penghasilan 30 jenis produk biokimia sejak 10 tahun lalu dengan menggunakan makmal selain kilang mini bagi pengeluaran produk.

“Wujud lambakan produk tongkat ali di pasaran namun tidak dinafikan kajian mendapati ekstrak herba itu kurang berbanding bahan lain seperti gula.

“Begitu juga dengan krim pencerahan yang mengandungi bahan kimia yang tidak sesuai. Misalnya pengguna lebih selamat menggunakan produk berasaskan bahan semula jadi termasuk ekstrak herba mas cotek kerana ia mampu mengekalkan kesihatan kulit,” katanya di UTM, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2015 @ 9:44 AM