Seorang lelaki maut selepas Perodua Alza dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan dua kenderaan membabitkan sebuah lori dan Mitsubishi Triton di Kilometer 5.5 Jalan Gopeng-Kota Bharu, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, Rohaizat Abdul Talib, 35, maut di tempat kejadian selepas kereta dipandunya melanggar lori dari arah bertentangan sebelum dirempuh dari arah belakang oleh Mitsubishi Triton.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, mangsa dari arah Kota Bharu menghala ke Gopeng gagal mengawal kereta sebelum memasuki arah bertentangan dan merempuh lori berkenaan.

Katanya, pemandu Mitsubishi Triton yang datang dari arah sama melanggar kereta mangsa dari belakang menyebabkan pacuan empat roda itu terbabas ke bahu jalan raya.

“Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kampar untuk bedah siasat,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2015 @ 6:20 AM