PROF  Dr Noor Azlan beramah mesra dengan pelajar selepas Majlis Melafaz Ikrar Pelajar Baru Ambilan Kedua Sesi Akademik 2015/2016 di UKM, Bangi, semalam.
PROF Dr Noor Azlan beramah mesra dengan pelajar selepas Majlis Melafaz Ikrar Pelajar Baru Ambilan Kedua Sesi Akademik 2015/2016 di UKM, Bangi, semalam.
Oleh Umar Tawil


Kuala Lumpur: “Pendidikan saja yang mampu mengubah nasib kami sekeluarga,” kata Nadziatul Saherah Saim, 20, seorang pelajar yang mengikuti Majlis Melafaz Ikrar Pelajar Baru Ambilan Kedua Sesi Akademik 2015/2016 di Panggung Seni DECTAR, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi di sini semalam.

Menurutnya, walaupun keluarganya tidak berkemampuan dan menghadapi masalah kewangan, perkara berkenaan langsung tidak mematahkan semangatnya untuk menyambung pengajian di universiti itu.

Anak kepada pengawal keselamatan itu berkata, walaupun berjauhan dengan keluarganya yang berada di Sabah, ia bukan penghalang untuk terus belajar di sini dan dia juga dalam proses membuat pinjaman pendidikan bagi membiayai kos pengajian.

“Berjauhan dengan keluarga adalah pencetus semangat untuk berdikari dan terus berusaha mencapai kejayaan pada masa akan datang,” katanya yang mengambil jurusan Sarjana Muda Sains Sosial (Geografi).

Majlis berkenaan menyaksikan seramai 400 pelajar mendaftar sebagai pelajar baru bagi 75 program yang ditawarkan menerusi 13 fakulti yang disediakan.

Hadir meraikan pelajar berkenaan Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal.

Sementara itu, pelajar jurusan sama Din Chin Wei, 20, melahirkan rasa kesyukuran kerana permohonan untuk menyambung pengajian di UKM diterima.

“Saya sangat gembira, memang sudah lama saya menyimpan hasrat untuk belajar di UKM yang juga universiti idaman sejak saya kecil dan percaya universiti awam ini menawarkan kursus pengajian terbaik bagi bidang yang diminatinya,” katanya.

Dalam pada itu, Noor Azlan dalam amanatnya bertajuk Pendaulat Amanah Negara berkata, UKM kini berada di kedudukan ke 312 dalam universiti terbaik dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2015 @ 5:08 AM