ANGGOTA polis menyiasat lokasi mayat kedua yang ditemui di dalam  gerai.
ANGGOTA polis menyiasat lokasi mayat kedua yang ditemui di dalam gerai.
Oleh Azahar Hashim

Kulim: Seorang lelaki ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah di Jalan Perindustrian Meha di sini, dipercayai mati akibat ditetak dan ditembak.

Mayat mangsa berusia 30-an itu ditemui orang awam jam 12 tengah malam semalam, yang secara kebetulan melalui kawasan itu sebelum memaklumkannya kepada pengawal keselamatan kilang berhampiran.

Polis yang melakukan siasatan bagaimanapun menemui mayat seorang lagi lelaki berusia 28 tahun yang turut mati akibat ditikam dan ditetak dalam gerai di Jalan Kulim-Baling di sini, iaitu 200 meter dari lokasi penemuan mayat pertama.

Saksi kejadian, Ahmad Bahthiar Che Mee, 21, berkata, dia bersama rakannya Ariff Othman, 21, dalam perjalanan pulang dari rumahnya di Gurun menuju ke rumah sewa mereka di Kulim dengan menaiki kereta jam 11.30 malam kelmarin.

“Secara tiba-tiba kami terlihat sepasang kaki dalam keadaan terbaring di tepi jalan. Kami sangkakan itu perangkap dipasang penjenayah menyebabkan kami tidak berani berhenti.

“Kami memaklumkan kejadian itu kepada seorang pengawal keselamatan kilang sebelum kembali ke lokasi kejadian bersamanya untuk pemeriksaan,” katanya.

Dia yang memandu kereta terkejut apabila mendapati seorang lelaki terbaring dalam keadaan berlumuran darah sebelum menghubungi polis.

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, pemeriksaan di lokasi pertama menemui mayat lelaki berasal dari Sungai Kob di sini, dalam keadaan berlumuran darah akibat ditetak selain terdapat kesan beberapa das tembakan di badan.

Menurutnya, pihak polis turut menemui mayat seorang lelaki lain tertiarap di dalam sebuah gerai dengan kesan tetakan di belakang kepala serta tikaman di dada.

“Siasatan menemui beberapa kelongsong peluru, satu peluru hidup dan sarung pisau di tempat kejadian. Turut ditemui kereta dipercayai milik mangsa berusia 30-an di kawasan rumah kedai di Taman Desa Aman 2.5 kilometer dari tempat kejadian.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat kedua-dua lelaki berkenaan dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2015 @ 5:13 AM