Kota Kinabalu: Kerajaan menggariskan sembilan inisiatif pertahanan menerusi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam usaha mengukuhkan tahap keselamatan di negeri ini terutama di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, sebahagian daripada inisiatif sudah dilaksanakan manakala selebihnya masih dalam proses pelaksanaan.

“Antara inisiatif yang sudah dilaksanakan adalah mewujudkan dua Pangkalan Laut Tun Azizan (PLTAZ) dan Tun Sharifah Rodziah (PLTSR) melalui proses menaik taraf pelantar minyak yang tidak digunakan di perairan Sandakan serta Lahad Datu.

“Kedua-dua pangkalan laut yang beroperasi 15 Mei dan 1 Ogos lalu turut dilengkapi sistem radar pengawasan selain mampu menempatkan enam bot tempur sekali gus membolehkan operasi pemantauan perairan negara dilakukan dengan lebih berkesan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sepanggar di sini, semalam.

Hishammuddin berkata, sembilan bot turut ditempatkan di ESSCOM bagi membolehkan operasi rondaan dan pemintasan dilakukan di perairan pantai timur negeri ini.

“Selain itu, beberapa aset pertahanan lain seperti bot tempur di KD Sandakan dan helikopter di KD Sri Semporna dilihat mampu membantu meningkatkan keupayaan pertahanan ESSCOM.

“ATM turut menempatkan lima pesawat Hawk selain operasi berkala jet tempur Sukhoi SU-30MKM dan F/A-18D di Pangkalan Udara Labuan. Ia langkah terbaik dalam usaha menjaga ruang udara di negeri ini dan sekitarnya,” katanya.

Menurut Hishammuddin, bagi memperkasa tahap keselamatan dan memastikan operasi dilaksanakan secara berkesan, pihaknya turut merancang menaik taraf Pangkalan Udara Labuan dan Lapangan Terbang Lahad Datu sebagai pangkalan hadapan yang mampu menempatkan helikopter.

“Selain itu, Tentera Darat turut menempatkan 12 kenderaan perisai AV8 Gempita di Kem Kukusan, Tawau sejak 14 Januari lalu selain kereta perisai MIFV di Kota Belud.

“Tiga batalion tentera turut ditempatkan di FELDA Sahabat (Lahad Datu), Kem Lok Kawi (Kota Kinabalu) dan Kem Fairyland (Labuan),” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai gerakan kumpulan militan Negara Islam (IS) yang dilaporkan beroperasi di Sandakan dan Tawau, Hishammuddin menjelaskan pihaknya sudah menjalin kerjasama erat bersama rakan sejawat di beberapa negara jiran dalam usaha mendapatkan maklumat berhubung kegiatan terbabit.

“Kami bekerjasama dengan Indonesia, Brunei, Filipina dan China dalam usaha mengawal gerakan itu daripada terus menular dalam kalangan penduduk rantau ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2015 @ 5:15 AM