PEGAWAI imigresen memeriksa MyKad dipercayai palsu milik warga asing.
PEGAWAI imigresen memeriksa MyKad dipercayai palsu milik warga asing.
Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: “Saya beli (MyKad) pada harga RM300 ketika berada di Sandakan, Sabah sebelum datang ke sini untuk mencari pekerjaan.”

Itu pengakuan lelaki warga Filipina yang ditahan kerana memiliki MyKad palsu dalam Op Ikrar Jabatan Imigresen Negeri Sembilan di tiga lokasi, di sini, awal pagi semalam.

Lelaki berusia 20-an itu mendakwa mudah untuk memperoleh MyKad kerana terdapat ejen yang menawarkan dokumen itu pada harga antara RM300 hingga RM1,000.

“Selepas memiliki kad pengenalan baru, saya datang ke sini dan lebih dua tahun bekerja sebagai buruh. Saya tiada masalah kerana boleh berurusan dengan mana-mana pihak termasuk hospital jika isteri mahu bersalin.

“Kami hanya mencari rezeki dan mudah mendapat pekerjaan di sini (Port Dickson) kerana semua percaya kami datang dari Sabah,” katanya kepada Harian Metro.

Seorang lagi warga Filipina yang ditahan berkata, dia sudah 23 tahun menetap di bandar ini dan tinggal sebumbung dengan teman wanitanya warga tempatan menggunakan MyKad palsu.

Sementara itu, Timbalan Penolong Pengarah Kanan Jabatan Imigresen negeri Azril Ashazly Abdul Aziz berkata, operasi bermula jam 1 pagi disertai 30 pegawai dan anggota penguat kuasa jabatan itu tertumpu di tiga lokasi sekitar Port Dickson selepas menerima maklumat awam serta risikan sejak beberapa hari lalu.

“Ketika ditahan, warga Filipina itu mengemukakan MyKad dan dokumen Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang diragui ketulenannya. Selepas diperiksa dengan kerjasama pegawai JPN, ternyata mereka menggunakan MyKad palsu.

“Seramai 105 warga asing diperiksa dengan 44 daripadanya termasuk warga Indonesia dan India ditahan kerana mempunyai dokumen palsu.

“Operasi tertumpu di Rumah Pangsa Taman Sri Pinang, Taman Desa Rusa dan Kampung Si Rusa. Mereka ditahan berusia antara sebulan hingga 66 tahun.

“Mereka terdiri daripada 31 warga Filipina, Indonesia (12) dan India (satu) serta dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Lenggeng untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 59/63 manakala warga India disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2015 @ 10:04 AM