ABDUL Hadi
ABDUL Hadi
Oleh Amir Mamat

Melaka: Wakil rakyat PAS yang gagal mematuhi Bai’ah atau sumpah taat setia kepada parti, perlu bersedia menerima laknat dari Allah.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, lafaz sumpah itu terkandung dalam Bai’ah yang ditandatangani wakil rakyat ketika bertanding atas tiket parti terbabit pada pilihan raya umum lalu sama ada menang atau kalah.

“Setiap wakil rakyat PAS ada sumpah. Itu sumpah sekiranya mereka tidak patuh kepada parti dan arahan parti, mereka akan dilaknat. (Itu) mereka sebut sendiri dan mereka (perlu) mengosongkan kawasan. Itu ikrar yang mereka buat,” katanya selepas menyampaikan ceramah di Telok Mas, di sini, malam kelmarin.

Bagaimanapun, Abdul Hadi berkata, terpulang kepada wakil rakyat terbabit sama ada mahu mematuhi sumpah dilafazkannya itu atau hidup dalam keadaan tidak bermaruah.

“Terpulang kepada mereka sendiri. Mengikut undang-undangnya, parti tidak boleh memecatnya sebagai Ahli Parlimen. Itu terpulang kepada maruah masing-masing,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan pemimpin di tiga bahagian yang meletak jawatan untuk menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB), Abdul Hadi berkata, tindakan itu sama sekali tidak melumpuhkan aktiviti dan perjalanan PAS di kawasan terbabit.

Katanya, PAS mempunyai ramai pelapis yang boleh diangkat sebagai pemimpin di peringkat cawangan, kawasan mahupun negeri.

“Mengikut perlembagaan parti, PAS tidak terbubar di sesuatu kawasan itu bila semua (jawatankuasa) meletak jawatan. Pejabat boleh membuat pengisian kekosongan itu mengikut peraturan pentadbiran, bahkan kita dapat maklum balas daripada pelbagai kalangan, berlipat kali ganda, bukan saja mahu menjadi ahli PAS, bahkan bersedia memimpin kerana kita mempunyai pelapis yang ramai.

“Keadaan sekarang pernah dilalui PAS pada 1982 apabila Datuk Asri Muda keluar parti, masa itu ada lima Ahli Parlimen PAS, cuma Datuk Nik Aziz Nik Mat seorang tidak berbuat demikian, yang lain habis keluar parti.

“PAS tetap meneruskan perjuangan meskipun diasak dan ditekan pihak tidak bersetuju dengan wadah dibawa parti Islam ini,” katanya.

Sehingga kelmarin, sekurang-kurangnya 200 pemimpin PAS di lima kawasan meletakkan jawatan dalam parti untuk menyertai GHB.

Kawasan itu termasuklah Kota Raja, Shah Alam, Kelana Jaya, Subang dan Gelang Patah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2015 @ 9:55 AM