Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan wujud komplot didalangi tokoh UMNO untuk menjatuhkan kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, tokoh berkenaan yang turut disokong beberapa individu penting parti itu berpakat dengan pembangkang untuk menggulingkan kepemimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau mendakwa, konspirasi itu dirancang dengan mendapatkan akuan bersumpah daripada Ahli Parlimen pembangkang di samping cuba mempengaruhi Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyokong mereka bagi menumbangkan kerajaan melalui ‘pintu belakang’.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO memberitahu memperoleh maklumat itu daripada sumber yang sangat boleh dipercayai.

Bagaimanapun, beliau enggan menyebut nama-nama tokoh terbabit.

“Saya dapat cium bau ada usaha yang dilakukan oleh tokoh tertentu yang didalangi tokoh tertentu juga. Satu usaha untuk mendapatkan statutory declaration (akuan bersumpah) Ahli Parlimen pembangkang selain cuba menarik Parlimen BN untuk menumbangkan kerajaan sedia ada melalui ‘pintu belakang’.

“Usaha ini sedang berjalan, kononnya seluruh 87 Ahli Parlimen pembangkang serta seorang Ahli Parlimen Bebas sedang berusaha mendapat sokongan BN untuk bersama mereka,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ampang di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Noh Omar dan Ketua Bahagian UMNO Ampang Datuk Ismail Kijo.

Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan khabar angin pembabitannya dengan komplot menggulingkan Najib melalui undi tidak percaya di Parlimen.

Sebaliknya, beliau berikrar taat setia dengan pucuk pimpinan dan parti sebagai pemimpin nombor dua UMNO.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan, tidak akan membenarkan usaha menggulingkan kerajaan berlaku, malah mengajak seluruh pemimpin parti bersama-samanya memastikan komplot itu gagal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2015 @ 5:08 AM