Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Kuantan: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan melaksanakan pemotongan gaji terhadap 130,000 penjawat awam yang tidak konsisten atau tidak pernah membayar pinjaman itu bermula September ini.

Ketua Eksekutifnya Agos Cholan berkata, proses itu dilakukan secara berperingkat selepas pihaknya bertemu dan mengadakan taklimat dengan peminjam di kementerian dan pejabat kerajaan.

Katanya, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Ali Hamsa mengeluarkan arahan supaya langkah itu diambil bagi menyelesaikan masalah peminjam yang gagal membayar pinjaman semula.

“Pelaksanaan berperingkat ini secara tidak langsung memberi peluang kepada penjawat awam termasuk 28,000 yang liat membayar balik pinjaman berbincang dan menstruktur semula jadual pembayaran.

“Peminjam digalakkan berjumpa dan berbincang dengan pegawai kita mengenai jumlah bayaran potongan gaji yang akan dibayar. Kita faham mereka turut mempunyai komitmen membayar pinjaman kereta, rumah dan sebagainya tetapi tunggakan pinjaman PTPTN juga perlu diselesaikan.

“Kita mula laksanakan bayaran potongan gaji secara berperingkat bermula bulan depan dan kita harap kerjasama penuh daripada penjawat awam,” katanya ditemui pada Majlis Mesra PTPTN bersama Pelanggan dan Pelancaran Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN)-i Plus peringkat negeri di Kuantan Parade di sini, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar Datuk Mohd Shohaimi Jusoh melancarkan program itu. Hadir sama Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Strategik PTPTN Mastura Mohd Khalid.

Mengenai SSPN-i Plus yang dilancarkan Jun lalu, Agos berkata, ia menerima sambutan menggalakkan daripada ibu bapa termasuk dari luar bandar.

Beliau berkata, sasaran pinjaman SSPN-i Plus berjumlah RM2 bilion dalam tempoh lima tahun sehingga 2020 dapat dicapai menerusi kempen, promosi dan publisiti.

Sementara itu, pendeposit SSPN-i Plus Huzreen Suzlin Abd Hamid, 37, dari Taman Seri Mahkota di sini, berkata dia membuka akaun untuk anak keduanya, Puteri Nur Iman Syakireen M Azrul, 10, kerana mendapati skim berkenaan lebih mantap berbanding skim pelaburan lain.

Katanya, simpanan berkenaan adalah untuk masa depan Puteri Nur Iman Syakireen bagi memastikan anaknya itu mendapat pendidikan terbaik apabila mula melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2015 @ 5:12 AM