Kuala Lumpur: Seorang pengurus restoran dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mencabul seorang pekerja restoran sama, Isnin lalu.

P Charles Borromeo, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa yang berusia 35 tahun di sebuah restoran di Jalan Nagasari Off Jalan Raja Chulan, di sini, pada jam 10.30 malam, 3 Ogos lalu.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripadanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam menawarkan ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Zulkifli Awang yang mewakili tertuduh memohon mahkamah memberikan ikat jamin yang rendah atas alasan isteri tertuduh kini mengandung dan anak guamnya perlu menyara keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 September depan untuk sebutan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 10:54 AM