Kuala Lumpur: Tidak munasabah! Itu rumusan terhadap penyebaran tawaran penjualan kenderaan mewah model BMW, Volkswagen Passat, Toyota Alphard dan Honda Accord pada harga di bawah RM40,000.

Tawaran itu yang mula tersebar meluas melalui media sosial WhatsApp mendakwa pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal melelong 51 pelbagai kenderaan mewah pada 29 Julai ini di JPJ Ipoh, Perak.

Bagaimanapun individu yang berminat mendapatkan kenderaan lelong itu perlu menghubungi telefon bimbit seorang individu bagi menguruskan pembelian berkenaan.

Bagaimanapun pihak JPJ yang dihubungi semalam menafikan pihaknya menyebarkan iklan jualan kenderaan lelong melalui media sosial.

Pegawai Perhubungan Awam JPJ Malaysia Mohamad Sazali Baharudin berkata, iklan palsu itu mendakwa pihak JPJ akan melelong pelbagai model kenderaan berharga lebih RM100,000 hingga RM300,000 pada harga di bawah RM50,000.

Menurutnya, kenderaan mewah ditawarkan membabitkan model Honda CRV, Honda Civic, Honda Type R, Honda Accord, Honda Jazz, Toyota Alphard dan pelbagai jenis BMW.

“Kesemua harga ditawarkan adalah sangat rendah dan di bawah RM50,000. Pembeli diminta membuat pembayaran secara tunai.

“Saya menasihati orang ramai supaya tidak terpedaya dengan penyebaran iklan lelongan palsu itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Sazali, pihaknya juga tidak akan bertanggungjawab diatas sebarang kerugian dialami individu yang terpedaya dengan iklan palsu itu.

“Memang akan ada lelongkan di JPJ Perak pada Rabu ini namun hanya 26 motosikal dan 11 kereta yang akan dilelong.

”Harga lelongan hanya akan dimaklumkan pada tarikh berkenaan dan harga yang dijual mengikut bidaan dibuat pembeli pada hari itu,” katanya.

Menurutnya, lelongan akan diadakan di JPJ Negeri Perak, Jalan Kompleks Sukan, Ipoh, Perak dan orang ramai boleh menghubungi talian 05-5478000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2015 @ 5:05 AM